Cadang Ayer Keroh jadi lokasi Taman Budaya Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 18 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menyambut baik cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mewujudkan taman budaya bagi semua kaum di Melaka.

Katanya, pembinaan taman budaya itu bakal mengangkat keunikan Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jelas Chee Yee, pihaknya turut mengharapkan kawasan Ayer Keroh akan disenaraikan sebagai antara lokasi bagi pembinaan taman budaya itu.

“Saya menyambut baik perancangan Ketua Menteri untuk membina taman budaya kaum di Melaka tambah-tambah menjelang TMM2024 tahun depan.

“Ini bertepatan kerana Melaka mempunyai budaya dan warisan yang tersendiri sejak zaman penjajah beratus-ratus tahun dahulu yang mana ia mencetuskan kepelbagaian terdiri daripada bangsa dan kaum seperti Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti, Serani dan Orang Asli,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Kebudayaan Tradisi Cina 2023 yang diadakan di sebuah restoran di Taman Muzaffar Syah, di sini, pada Sabtu.

IMG_20230617_175019_915
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee. Foto Iqmal Haqim Rosman

Karnival tersebut telah dirasmikan Ab Rauf dan dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin dan Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Low Chee Leong.

Mengulas mengenai karnival tersebut, Chee Yee memaklumkan karnival tersebut menampilkan tiga elemen teras utama.

Jelasnya, elemen pertama melibatkan kaligrafi peribahasa Cina yang telah memecahkan rekod Malaysia Books Of Records (MBOR), diikuti elemen kedua melibatkan demonstrasi kuih chang dan elemen ketiga mengekalkan tradisi dengan permainan catur Cina.

“Matlamat karnival, kita mahu menghantar mesej bahawa kita tinggal di negara majmuk dan meraikan kepelbagaian.

“Mengekalkan tradisi Cina dan hidup dalam keadaan harmoni berbilang bangsa dan agama antara mesej yang mahu diangkat menerusi karnival ini.

“Diharapkan karnival seumpama ini akan diadakan dengan lebih banyak pada masa akan datang khususnya dalam kawasan Ayer Keroh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1677
Kongsi :
Previous post Suami isteri maut, dua anak parah dalam nahas di LPT2
Next post Kurung ‘cotton’ Ferlabel diminati ramai
Ubah saiz-+=