Sorting by

×

CAKAR AYAM TIN SARDIN, TIGA GENERASI

Masa Membaca:2 Minit, 28 Saat

DUYONG 29  Julai – Meskipun kurang popular jika dibandingkan kuih tradisional lain seperti dodol atau wajik, Hurmazan Ismail, 39, tetap meneruskan perusahaan menghasilkan kuih cakap ayam yang bukan sekadar makanan sebalik menjadi identiti keluarganya sejak tidak generasi lalu.

Kini Hurmazan atau lebih dikenali sebagai Ojan bersama isteri Darwina Mohamad Som, 33, meneruskan pembuatan kuih tradisional itu menerusi perusahaan Kuih Cakar Ayam Perigi Hang Tuah.

Katanya, pembuatan kuih tradisional itu dimulakan oleh arwah neneknya pada 1970-an, sebelum diambil alih oleh ibunya Azizah Salleh, 62, dan kini diwariskan pula kepadanya bersama isteri.

Katanya, bagi mengekalkan keaslian kuih cakar ayam, dia masih mengekalkan cara pembuatan secara tradisional seperti diamalkan arwah nenek dan ibunya termasuk menggunakan acuan yang diperbuat daripada tin sardin.

“Hanya menggunakan tiga bahan utama termasuk keledek, kudapan ini dipanggil kuih cakar ayam kerana rupanya seakan kesan cakaran ayam. Boleh katakan 100 peratus cara pembuatan masih menggunakan kaedah tradisional dan acuan juga menggunakan tin seperti arwah nenek. Cuma dulu guna tin susu tetapi apabila emak mengambil alih ditukarkan kepada tin sardin kerana saiznya yang agak kecil dan lebih senang untuk pembungkusan.

“Sesuai dengan peredaran zaman cakar ayam sekarang dimasak menggunakan gas, jika zaman nenek dan emas masih guna dapur kayu. Saya mahu kekalkan sebanyak mungkin elemen tradisi dalam proses pembuatan kuih termasuk proses menyagat keledek secara manual. Dengan ini generasi muda terutamanya dapat lihat dengan jelas bagaimana suatu ketika dahulu kuih atau kudapan disediakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

6053344761617696657
HURMAZAN menunjukkan proses menyediakan kuih cakar ayam. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurutnya, dia hanya memproses kuih cakar ayam pada setiap Sabtu dan Ahad sahaja dihadapan kediamannya dan menjadi tumpuan pelancong yang datang ke Perigi Hang Tuah serta Perkampungan Hang Tuah.

“Setiap kali memproses kita hanya menggunakan kira-kira 40 kilogram keledek ini kerana mahu kuih yang dihasilkan itu ‘fresh’ (segar) serta sedap dimakan dan kebiasaanya ia akan habis itu membuatkan pelanggan terutamanya pelancong akan tempah lagi.

“Bagi saya selain mengekalkan keaslian, kualiti kuih turut menjadi keutamaan Kuih Cakar Ayam Perigi Hang Tuah mungkin disebabkan itu maklum balas diterima mengatakan kuih kami lembut serta segar,” katanya.

Sebagai usaha mempromosi dan mengangkat kembali kuih warisan itu dalam kalangan generasi muda dia menggerakkan pasukan untuk membuka gerai jualan di lokasi tumpuan pelancong termasuk karnival jualan.

“Buat waktu ini saya hanya beroperasi di Kampung Perigi Hang Tuah dan boleh katakan ia memberi kepuasan apabila pelancong yang datang singgah dan melihat cara pembuatan serta menjamah kuih yang baru dimasak.

“Saya sendiri mahu generasi sekarang tahu akan adanya kuih cakar ayam ini dan bagaimana rupanya. Malah untuk perancangan jangka panjang saya kini dalam proses untuk menyiapkan satu pasukan yang akan keluar mempromosikan kuih ini serta mengekalkan konsep yang sama iaitu dibuat secara terus dihadapan orang ramai,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai langkah mendepani kenaikan harga keledek dia bersama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Perigi Hang Tuah kini mengusahakan inovasi tanaman keledek dalam pasu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

545
Kongsi :
Previous post PASAR JASIN BAKAL BERWAJAH BAHARU
Next post MENGHAMPIRI TIGA DEKAD SWM ENVIRONMENT KOMITED PASTIKAN MELAKA BERSIH DAN LESTARI