Cari saya, bukan Ah Long!- Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

PENGKALAN BATU 1 Julai – “Perlu cari saya, bukannya ‘ah long’ kerana ada saranan dan jalan terbaik untuk mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup,” kata Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nasib peniaga di Banda Hilir yang semakin terhimpit akibat tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu menegaskan beliau memandang serius keadaan dihadapi peniaga dan menasihati mereka supaya cekal dan tidak berputus asa hingga membuat keputusan terburu-buru demi menyelesaikan permasalahan dengan mudah.

Menurutnya, semua usahawan terjejas terutama peniaga kecil seperti pasar malam dan ‘uptown’ perlu tampil berjumpa dengan pihaknya bagi berkongsi masalah dihadapi kerana pelbagai bantuan dan inisiatif termasuk khidmat nasihat daripada pelbagai agensi disediakan boleh membantu mereka.

PENIAGA bazar di kawasan tumpuan di Banda Hilir merayu supaya dibenar beroperasi. (Foto fail).

“Peniaga kecil mahupun pelbagai persatuan peniaga yang terkesan, saya minta datang berjumpa saya daripada pergi membuat pinjaman tidak tentu arah…jumpa ‘ah long’ dan sebagainya kerana Ah long bukan menyelesaikan masalah malah menyulitkan lagi keadaan.

“Sebenarnya pelbagai manfaat boleh diambil peniaga yang terjejas sebab kerajaan bukan saja membantu dari segi pembiayaan atau geran, malah bantuan dari segi kadar sewaan, permohonan mesin dan pembungkusan (produk),” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau menjelaskan beberapa inisiatif perlu direbut usahawan daripada pelbagai agensi antaranya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), SME Corp  MARA, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang
sedia membantu.

Ujarnya, kerajaan negeri turut menawarkan pelbagai inisiatif dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021 dan perlu direbut oleh peniaga selain bantuan daripada kerajaan pusat yang disalurkan menerusi agensinya.

“TEKUN Nasional misalnya, menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada peniaga malah jika ada mereka yang memerlukan bantuan geran, mesin atau alatan perniagaan lain SME Corp sedia membantu mereka jika mempunyai kesungguhan untuk membangunkan semula sektor yang terjejas ini.

“Kerajaan negeri sedia membantu peniaga di negeri ini, malah kita juga ada menawarkan Dana Kasih Niaga sejumlah RM1,000 dalam pakej yang diumumkan baru-baru ini dengan hanya memerlukan permohonan di pejabat daerah masing-masing.

“Saya mohon mereka (peniaga) ini untuk berjumpa dan saya akan mencari peluang dan penyelesaian terbaik buat mereka,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar peniaga perlu lebih hati-hati membuat keputusan dalam keadaan tertekan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

433
Kongsi :
Previous post PKPD Taman Mewah Kelemak mulai 3 Julai – Ismail Sabri
Next post 28 kes positif, bangunan Wisma Persekutuan ditutup seminggu
Ubah saiz-+=