
STL 2026: SYAHIR SASAR PRESTASI LEBIH BAIK
BANDARAYA MELAKA 13 Oktober – Pengalaman mengharungi saingan sengit musim lalu mendorong Tekong Melaka Titans, Mohammad Syahir Mohamad Rosdi membuat persiapan lebih rapi bagi menghadapi CelcomDigi Sepak Takraw League (STL) Premier League 2026 yang akan membuka tirai pada 21 Oktober ini.
Katanya, pengalaman itu memberi gambaran lebih jelas mengenai tahap persaingan dalam liga utama berkenaan, sekali gus membantu pasukan memperkemas persiapan musim ini.
“Musim lepas kita baru habis Divisyen 1 dan terus ke Premier League, jadi persiapan agak kurang. Tahun ini apabila kita sudah tahu akan bermain di Premier League, persiapan lebih rapi, baik di dalam mahupun di luar gelanggang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Jersi Melaka Titans sempena CelcomDigi STL Premier League 2026 pada Ahad.
Majlis berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan turut dihadiri Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM), Datuk Akramuddin Abdul Aziz.
Mengulas sasaran musim ini, Syahir berharap Melaka Titans mampu memenangi kesemua tujuh sirkit, namun mengakui cabaran yang menanti bukan mudah berikutan kekuatan pasukan lawan.
Katanya, kehadiran pemain berkualiti termasuk pemain kebangsaan serta pemain import dari Thailand dan Filipina menjadikan persaingan lebih sengit.
“Kita tidak boleh terlalu selesa kerana pasukan lain juga mempunyai pemain berkualiti. Kita perlu bersedia setiap minggu kerana persaingan dalam liga ini memang sengit,” katanya.
Bagaimanapun, beliau yakin semangat berpasukan yang baik serta persiapan lebih menyeluruh mampu membantu Melaka Titans memberikan saingan terbaik dalam STL Premier League 2026.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

