
GURAUAN JANGAN SAMPAI BERTUKAR JADI BULI
AYER KEROH 13 Oktober – Batas antara gurauan dan perlakuan buli dalam kalangan remaja perlu diberi perhatian bagi mengelakkan perbuatan yang dianggap sekadar bergurau bertukar menjadi penderaan yang menjejaskan emosi mangsa.
Pakar Psikiatri Pantai Hospital Melaka, Dr. Gayathri K. Kumarasuriar berkata, gurauan yang melampaui batas perlu diberi perhatian kerana boleh menjadi salah satu bentuk buli dalam kalangan remaja.
“Gurauan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina atau menyakiti orang lain. Perbuatan yang melibatkan ketidakseimbangan kuasa serta dilakukan secara berulang atau berpotensi berulang boleh dikategorikan sebagai buli.
“Walaupun sesuatu kejadian belum memenuhi takrif buli, perbuatan yang memudaratkan tetap perlu dihentikan dan ditangani.
“Ini juga mengelakkan tanggapan bahawa ibu bapa atau sekolah mesti menunggu kejadian berulang sebelum bertindak,” katanya ketika ditemu bual Melaka Hari Ini di Pantai Hospital Melaka.
Beliau berkata perlakuan buli tidak wajar dilihat hanya sebagai masalah antara pembuli dan mangsa kerana pengaruh rakan sebaya, keluarga, sekolah serta persekitaran sosial turut membentuk tingkah laku remaja.
“Buli bukan hanya melibatkan individu yang membuli dan individu dibuli. Rakan yang membantu, ketawa atau memberikan perhatian boleh mengukuhkan tingkah laku tersebut dan saksi juga boleh membantu menghentikannya.
“Sebahagian remaja mungkin mengalami kedua-duanya iaitu dibuli dan membuli orang lain. Namun, pengalaman menjadi mangsa tidak bermakna seseorang akan membuli orang lain.
“Pengalaman pernah menjadi mangsa, tingkah laku yang dipelajari daripada persekitaran serta pengaruh media sosial juga perlu diberi perhatian kerana boleh mempengaruhi cara remaja berinteraksi,” katanya.
Dr. Gayathri berkata, ibu bapa dan sekolah perlu membantu remaja memahami batas dalam pergaulan, selain menyediakan ruang selamat untuk mereka berkongsi sekiranya berdepan tekanan atau perlakuan yang membuatkan mereka tidak selesa.
“Remaja juga perlu dibantu membina kemahiran mengurus emosi, menyelesaikan konflik, menghormati batas dan menggunakan kuasa secara bertanggungjawab bagi membentuk hubungan sosial yang lebih sihat.
“Ibu bapa digalakkan mendengar tanpa menyalahkan anak, mencatat kejadian dan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menghentikan perlakuan serta memastikan keselamatan.
“Jika anak menunjukkan tekanan emosi yang berterusan atau fungsi hariannya terjejas, dapatkan penilaian profesional,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

