Cebisan anggota badan dipercayai milik pendaki wanita hilang di gunung Suku Ditemui
IPOH, 17 Mei – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemukan cebisan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air semasa mendaki di Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Muhammad Shahrizal Aris berkata cebisan anggota badan itu ditemukan pada 4.30 petang tadi.
“Bahagian anggota mana kita tidak dapat kenal pasti lagi kerana kita hanya menjumpai cebisan anggota badan sahaja di lokasi penemuan kedua (separuh anggota badan mangsa ditemukan di bawah timbunan kayu) semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Shahrizal berkata operasi SAR dihentikan sementara pada 5.30 petang disebabkan faktor cuaca serta keadaan semakin gelap dan operasi akan disambung semula pada pukul 8 pagi esok.
Sementara itu, Timbalan Komander Operasi JBPM Perak Umrani Che Mat pula berkata pasukan SAR turut menemukan beberapa cebisan pakaian dipercayai milik kedua-dua mangsa di sekitar lokasi kejadian pada 1.30 tengah hari tadi.
Umrani berkata kedua-dua suami mangsa telah mengesahkan beberapa cebisan pakaian yang ditemukan pasukan penyelamat adalah milik mangsa.
Semalam, pasukan SAR menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.
Kedua-dua wanita itu dikenali sebagai See Su Yen, 32 dan Ng Yee Chew, 46, yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras dalam kejadian pada 5 pagi, Ahad lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.