CEO Melaka United FC antara penerima darjah kebesaran negeri Melaka pada hari terakhir

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 5 Dis- Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Justin Lim Hwa Tat antara 224 penerima darjah kebesaran negeri Melaka 2021 pada sesi ketiga, hari terakhir hari ini.

Justin Lim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam Sdn Bhd dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira bersama dua orang lagi penerima.

Sementara itu,Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Datuk Razali Abu Samah antara dua penerima yang dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

YANG di-Pertua Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam menganugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M.) yang membawa gelaran Datuk kepada Timbalan Ketua Polis, Datuk Razali Abu Samah pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2021 di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh. Foto: MR. Azli

Semua darjah berkenaan dianugerahkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-72 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang diadakan di Balai Istiadat Seri Negeri, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Dalam pada itu, seramai 43 individu memenuhi senarai baki bagi anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) hari ini.

Mohd Ali turut berkenan menganugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) buat 11 penerima yang didahului oleh Ketua Berita dan Hal Ehwal Semasa, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Kamaruddin Mape.

Selain itu, istiadat diteruskan dengan penganugerahan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) kepada 27 penerima, manakala Bintang Khidmat Terpuji (BKT) kepada 43 penerima termasuk seorang pegawai di Pejabat Ketua Menteri, Mohd Fairuz Zaidan.

Seterusnya, seramai 58 penerima turut dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK), termasuk seorang wartawan bebas Melaka Hari Ini (MHI), Mohd Hamzatul Akmar Md Zakaria, diikuti Pingat Bakti Masyarakat (PBM) kepada 36 penerima.

Menutup tirai istiadat keseluruhan, penganugerahan Pingat Khidmat Lama (PKL) diberikan kepada penerima tunggal Amisah Sagap.

Mengikut rekod, seramai 689 penerima keseluruhannya diraikan dalam Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka ke-72 kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2012
Kongsi :
Previous post PRN Sarawak bermula dengan penamaan calon esok
Next post Nasib peniaga setiap kali air pasang besar
Ubah saiz-+=