Nasib peniaga setiap kali air pasang besar

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LINGGI 5 Dis – “Sungai yang terlalu hampir dengan kedai menyebabkan air mengalir masuk ke dalam kedai dan setiap kali ia berlaku, kami terpaksa berhempas pulas membersihkannya.

Itu luahan seorang peniaga kedai runcit di Pasar Kuala Sungai Baru, di sini Salihin Osman, 33 selepas kedainya dinaiki air pasang besar di laut.

Katanya, air mula memasuki kedainya pada jam 8.30 pagi dan menyebabkan dia dan isteri, Syazwani Ariffin, 33, terpaksa menyiapkan penyapu lidi, baldi dan mop untuk menjalankan kerja pembersihan.

“Memang beginilah nasib kami setiap kali air pasang besar, pasti kedai kami dinaiki air sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kedainya.

Dia berkata, apabila air mulai surut pada jam 10 pagi, dia dan isteri memulakan kerja membersihkan lantai di dalam dan anjung kedai dengan terpaksa menyental lumpur yang dibawa oleh air pasang.

“Sejak tiga atau empat tahun lalu, setiap kali air pasang besar, kami tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah air melimpah masuk ke dalam kedai,” katanya.

Salihin berkata, keadaan itu menyebabkan tiada pelanggan yang mahu memasuki kedainya dan begitu juga dengan kedai bersebelahannya.

PENDUDUK Kuala Sungai Baru meredah air pasang besar di kedai Pasar Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.
Foto Din Ahmad

Sementara itu, Syazwani berkata, meskipun keletihan terpaksa membersihkan kedai daripada lumpur, dia tetap tidak patah semangat untuk terus berniaga.

“Ini adalah sumber pendapatan kami dan kami tidak akan biarkan banjir air pasang besar menyebabkan kami terpaksa berpindah ke tempat lain,” katanya.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana lazimnya air pasang besar hanya masuk ke dalam kedai antara satu hingga dua jam sebelum beransur-ansur surut.

Tambahnya, air pasang besar tidak menyebabkan dia dan suami mengalami kerugian besar kerana air yang naik dalam kedai hanya antara dua hingga tujuh sentimeter.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

456
Kongsi :
Previous post CEO Melaka United FC antara penerima darjah kebesaran negeri Melaka pada hari terakhir
Next post KBS cari titik noktah isu had umur belia minggu depan
Ubah saiz-+=