KBS cari titik noktah isu had umur belia minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

IPOH, 5 Dis – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin pertubuhan dan persatuan belia minggu depan bagi mencari jalan penyelesaian di sebalik isu penurunan had umur memegang jawatan di dalam persatuan belia kepada 30 tahun.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pertemuan itu penting bagi mencari jalan penyelesaian supaya Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) dapat dilaksanakan.

“Saya mendapati setiap pertububan belia itu ada masalah-masalah yang tersendiri yang boleh kita mencari jalan bagaimana kita boleh jumpa titik pertemuan agar akta ini dapat dilaksanakan.

“Pada masa yang sama permasalahan kepada penyelesaian masalah pertubuhan-pertubuhan belia ini dapat kita rungkaikan bersama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Ahmad Faizal sebelum ini memaklumkan Parlimen mengenai pelaksanaan umur daripada 40 ke 30 tahun ke bawah bagi pemegang jawatan pertubuhan belia akan berkuat kuasa 1 Jan depan.

Beliau sebelum ini dibidas beberapa pihak mewakili suara belia termasuk Gerakan Belia 4B Malaysia yang mengecam keputusan terburu-buru dalam menurunkan had usia maksimum belia itu yang dibuat tanpa ada apa-apa soal selidik dengan kepimpinan badan belia sendiri.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata KBS akan melaksanakan inisiatif baharu untuk sukarelawan yang dijenamakan sebagai Sukarelawan Belia Nasional (BENA).

Beliau berkata setiap peserta akan bertindak sebagai sukarelawan bagi menggerakkan kerja sukarelawanan pasca bencana serta pengurusan acara dan sukan di peringkat komuntii setempat.

Inisiatif BENA ini, kata beliau bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kebolehan kepada alumni-alumni atau bekas peserta program KBS.

“Peserta BENA nanti akan dibimbing dan dilatih secara meningkatkan kemahiran serta diberi kemahiran semula bagi membantu usaha kementerian dalam pemerkasaan komuniti di peringkat akar umbi.

“Peserta juga akan dilatih bagi membantu memperkasakan komuniti terutama dalam menangani masalah kesihatan mental, masalah sosial dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya dan menambah pihaknya menyasarkan 10,000 peserta terlibat di peringkat permulaan.

Menurutnya inisiatif ini turut diperkasakan dengan penubuhan Pusat Panggilan Sukarelawan sebagai pusat sehenti kepada individu atau organisasi untuk mendapatkan khidmat sukarelawan secara lebih sistematik.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

700
Kongsi :
Previous post Nasib peniaga setiap kali air pasang besar
Next post KPM tidak cadang tutup sekolah awal susulan kes COVID-19 – Radzi Jidin
Ubah saiz-+=