Ceria, ketawa bukan jaminan ‘saya okay’
Antara kes yang menggemparkan berlaku pada Julai lepas di Kampung Bakar Batu, Johor, melibatkan seorang lelaki yang didakwa membunuh dengan mengelar isteri dan bayinya yang berumur tiga bulan.
Kes berkenaan mendapat liputan meluas pelbagai pihak termasuk di media sosial kerana suspek berusia 24 tahun itu digambarkan sebagai seorang lelaki, anak, menantu dan suami yang mempunyai tingkah laku yang baik termasuk tidak pernah menunjukkan sikap panas baran.
Ketika ditangkap, lelaki itu menunggang motosikal dalam keadaan berbogel dan tangkapan dibuat beberapa jam selepas mayat dua beranak berkenaan ditemukan di hadapan rumah mereka. Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki berkenaan.
Kes pembunuhan seperti ini sudah tentu membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah punca penyebab atau mendorong lelaki berkenaan bertindak kejam sedangkan yang diragut nyawa itu adalah isteri dan anaknya sendiri?
Bagaimana seorang individu yang secara luarannya dilihat tidak bermasalah, ketawa dan ceria namun tiba-tiba boleh bertindak di luar jangkaan. Apakah mungkin ianya berkait dengan gangguan atau masalah mental?
LAMBAKAN MASALAH SERENTAK
Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan MSU Prof Dr Zulkifli Ghaus berkata, pelbagai aspek perlu diperhalusi bagi memahami mengapa insiden bunuh ahli keluarga boleh terjadi.
Menurut beliau, antaranya, mengetahui sama ada terdapat sebarang masalah ketika seseorang itu dilahirkan sebagai contoh si ibu trauma sewaktu melahirkan seterusnya mendatangkan kecacatan dari segi perkembangan otak si anak yang membuatkannya mengalami kesukaran untuk mengawal perasaan.
Selain itu, sewaktu di alam persekolahan, adakah seseorang itu pernah dibuli atau didera secara fizikal atau emosi serta pengaruh negatif rakan-rakan terhadap dirinya.
“Personaliti seseorang sama ada introvert atau extrovert juga boleh mempengaruhi. Introvert merujuk kepada individu yang pendiam dan tidak menceritakan masalahnya kepada orang lain, suka berada di rumah, tidak agresif, sukar membimbing tapi suka dibimbing dan tidak pandai bergaul.
“Extrovert pula merujuk kepada individu yang dinamik, bercita-cita, suka membimbing, agresif, suka berada di luar rumah dan mempunyai hobi yang lasak. Namun begitu, terdapat juga personaliti lain yang boleh mempengaruhi tindakan seseorang seperti paranoid, anti sosial, histrionic (orang yang suka berdrama untuk mendapat perhatian) dan lain-lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Zulkifli berkata, maklumat lengkap berhubung kejadian (insiden bunuh) perlu didapatkan secara terperinci termasuk sebelum, semasa dan selepas kejadian berlaku.
Beliau juga tidak menolak lazimnya insiden yang tidak diingini itu berlaku akibat individu terbabit berhadapan pelbagai masalah secara serentak, antaranya masalah rumah tangga, di tempat kerja, hutang, jiran, masalah kesihatan diri termasuk tiada selera makan, infeksi dan masalah tidur.
“Apabila lambakan masalah datang sekali gus, kadang-kadang manusia akan hilang kemampuan dan pertimbangan untuk menanganinya. Apatah lagi jika kesihatan diri sendiri turut terjejas seperti kekurangan rehat dan tidur, air dan makanan yang boleh membuatkan bahan kimia di otak terutamanya neurotransmitter tidak stabil dan boleh membuat individu itu menderita psikosis.
“Psikosis merujuk kepada keadaan tidak waras apabila seseorang tidak berada di alam nyata dan tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk termasuklah perbuatan menunggang motosikal dalam keadaan berbogel.
“Mendengar suara-suara (halusinasi) yang mungkin menghina, mencaci atau arahan tertentu akan membuat mereka marah dan bertindak luar kawalan termasuk membunuh diri atau orang lain,” katanya menambah, golongan itu juga boleh mengalami delusi iaitu mempercayai sesuatu perkara yang terbukti salah.
FAKTOR ORGANIK
Mengulas lanjut Dr Zulkifli berkata, dalam kes seperti di atas, terutama jika individu yang terlibat itu masih muda, bahagian perubatan akan cuba mencari punca mengapa kejadian sedemikian boleh berlaku.
“Hal-hal yang perlu difikirkan adalah seperti faktor organik iaitu suatu keadaan apabila sel-sel otak terganggu atau rosak yang membuatkan individu itu bermasalah.
“Antara faktor organik yang perlu diselidik ialah pengaruh dadah, infeksi terutamanya di otak, perdarahan dalam otak akibat trauma, gangguan kadar elektrolit dalam darah, masalah sistem endokrin, masalah tumor otak, kurang vitamin tertentu bahkan masalah keracunan makanan juga boleh menjadi punca.
“Sekiranya doktor tidak dapat mengesan penyebab seperti di atas, barulah kita fikirkan masalah kesihatan mental yang dikategorikan sebagai faktor bukan organik atau faktor functional yang disebabkan genetik, persekitaran, psikologi dan sosiologi. Kes-kes ini termasuklah Brief Psychotic Disorder (kecelaruan psikotik sementara), Dissociative Disorder (kecelaruan jati diri), amuk dan histeria,” jelasnya.
Menurut statistik National Health and Morbidity Survey 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara ancaman tertinggi yang boleh mengakibatkan berlakunya masalah mental di Malaysia ialah menghisap rokok iaitu sebanyak 21.3 peratus dan pengambilan alkohol 11.8 peratus.
Berdasarkan statistik itu juga sebanyak 2.3 peratus dari orang dewasa menghidap depresi manakala 7.9 peratus atau 424,000 pula terdiri daripada kanak-kanak berumur antara lima hingga 15 tahun.
Masalah mental juga melibatkan 100,000 orang penagih dadah dan dadah yang paling banyak digunakan ialah marijuana.
Menurut KKM juga, dalam tempoh Mac 2020 hingga 20 Mei 2021, sebanyak 85.5 peratus daripada 145,173 panggilan yang diterima adalah membabitkan isu kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan dan tingkah laku bunuh diri.
#DEPRESSIONISREAL
Kes pembunuhan isteri dan anak ini yang tular di media sosial membuatkan ramai yang berkongsi #depressionisreal di laman sosial masing-masing. Tidak kurang juga yang menzahirkan rasa simpati kepada suspek. Dalam situasi ini, bagaimana masyarakat perlu faham bahawa depresi, stres dan sebagainya adalah satu isu besar yang tidak boleh dipandang ringan?
Menjawab persoalan ini, Dr Zulkifli berkata, masalah depresi mesti dipandang serius kerana jika gagal ditangani dengan baik ia boleh menjejaskan kualiti hidup, kerja, akademik, sosial dan rohaniah.
Menurut beliau, masyarakat juga perlu membaca, peka serta meningkatkan ilmu mengenai penyakit mental melalui penglibatan dalam program yang dianjurkan agensi berkaitan yang bukan sahaja melibatkan kaedah menangani depresi tetapi juga gejala lain seperti perasaan cemas (anxiety), gembira berlebihan (mania), cepat marah, agresif dan psikosis.
“Masyarakat perlu dididik dengan lebih proaktif tanda awal penyakit mental. Kita perlu tahu cara yang asas untuk berdepan dengan orang yang depresi atau pun individu yang agresif serta bekerjasama dengan doktor agar pesakit dapat dirawat dengan baik.
“Stigma dan pemikiran negatif terhadap pesakit mental perlu dihapuskan. Perkataan gila atau sasau sebagai contoh tidak seharusnya digunakan sebaliknya ahli keluarga, rakan terdekat, seluruh anggota masyarakat serta kerajaan perlu membimbing dan bersedia menghulur bantuan,” katanya.
Dr Zulkifli pada masa sama menambah, sikap memendam rasa, menjaga hati orang lain atau mungkin tanggapan tidak mahu membesar-besarkan sesuatu perkara boleh mengundang kepada situasi ‘makan dalam’ dan memberi implikasi besar kepada diri sendiri termasuk bunuh diri atau membunuh orang lain.
“Sikap seperti ini mungkin terjadi kerana isu stigma tadi. Mereka tidak mahu dilabelkan sebagai negatif jauh sekali mempunyai penyakit mental. Ini kerana masyarakat sering memandang pesakit mental sebagai bermasalah, lemah, sukar bergaul, tiada masa depan, agresif, sukar dipercayai dan sebagainya.
“Secara puratanya, kaum lelaki lebih sukar meluahkan perasaan kerana sifat mereka yang memimpin dan bukan dipimpin. Meminta pertolongan daripada orang lain membuatkan mereka kelihatan lemah dari segi mental dan fizikal.
“Berbeza dengan wanita, mereka lebih mudah menyuarakan isi hati dan lebih cenderung mendapatkan pertolongan. Elakkan memendam masalah sebaliknya rujuklah kepada individu yang boleh dipercayai seperti ibu bapa, adik beradik, kaunselor, pakar psikologi atau pakar psikiatri,” katanya.
Bagi beliau, merujuk kepada pakar bidang adalah jalan terbaik kerana maklumat yang dikongsi adalah sulit dan laporan akan hanya dikeluarkan dengan kebenaran individu terlibat.
KURANG PAKAR PSIKOLOGI, PSIKIATRI
Menurut statistik Institut Kesihatan Negara (NIH) 2018, Malaysia masih berhadapan masalah kekurangan tenaga pakar psikologi dan psikiatri.
Pada masa ini Malaysia mempunyai seramai 200 orang pakar psikologi untuk populasi 33 juta orang penduduk berbanding di Britain iaitu seramai 9,500 pakar untuk populasi 67 juta orang penduduk.
Malaysia juga hanya mempunyai 1.27 pakar psikiatri untuk 100,000 penduduk sedangkan angka sebenar yang dianjurkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah satu pakar untuk 10,000 penduduk (1: 10,000).
“Bagi mendepani perkara ini, bidang psikiatri dan kesihatan mental sentiasa diutamakan dalam latihan para doktor. Mereka sentiasa digalakkan menceburi bidang ini kerana Malaysia sangat kekurangan pakar. Pegawai Perubatan Siswazah digalakkan menjalani posting psikiatri untuk menimbulkan minat mereka dalam bidang ini.
“Program melibatkan kesihatan mental sentiasa mendapat perhatian di platform sosial media. Doktor juga digalakkan berkongsi pengetahuan dan sokongan kepada mereka yang bermasalah,” katanya menambah setiap Pegawai Perubatan dinasihatkan tidak memandang ringan stigma dan diskriminasi terhadap pesakit mental.
AHLI KELUARGA TOKSIK
Sementara itu, Perunding Motivasi dan Kaunseling terkenal Hushim Salleh berkata, berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan kes melibatkan pasangan suami isteri dan keluarga, masalah kewangan termasuk diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19 menjadi antara punca utama tekanan hidup dan emosi seterusnya membawa kepada masalah mental.
Gejala bunuh yang menjadi-jadi kebelakangan ini terutama selepas pandemik melibatkan anak bunuh ibu, adik bunuh abang dan sebagainya hanya disebabkan si ibu enggan memberikan duit kepada anak yang mungkin penagih dadah atau punca lain, timbul rasa tidak puas hati soal pembahagian harta pusaka.
“Dalam isu ini juga, keluarga sendiri sebenarnya boleh menjadi toksik disebabkan rasa tidak puas hati, hasad dengki dan kebanyakan masalah sekarang ialah tiada komunikasi. Banyak yang berlaku sekarang, apabila ada masalah dalam keluarga maka ramai yang pendam, simpan dan memilih untuk tidak meluahkan perasaan kepada ahli keluarga yang lain.
“Apabila terlalu lama memendam dan berdiam, ia sedikit demi sedikit akan menjadi kebencian (kepada ahli keluarga) dan akhirnya akan wujud bisikan (halusinasi) untuk membunuh,” katanya.
Beliau menambah, terdapat juga banyak kes pasangan suami isteri yang bermasalah namun berpura-pura semuanya baik demi menjaga nama keluarga dan reputasi masing-masing.
“Kes ini memang banyak sangat saya kendalikan. Ramai pasangan suami isteri yang ada masalah… di luar nampak bahagia dan gembira termasuklah apa yang dikongsikan di Facebook dan Instagram, semuanya indah-indah sedangkan sebaliknya yang berlaku.
“Mereka ini yang bila berjumpa untuk buat sesi kaunseling tiba-tiba ‘meletup’ sebab selama ini masing-masing ‘menyimpan’ ada yang ‘terbuku di hati’ tetapi tak pernah nak kongsi atau berbincang. Hakikatnya, tindakan sebegini sangat berbahaya dalam keluarga.
“Suami isteri jika ada masalah lekaslah berjumpa kaunselor perkahwinan keranan kita tak boleh berpura-pura dan perlu menjaga hubungan dan berterus terang,” katanya menambah sesi kaunseling dan terapi keluarga dapat membantu menyelamatkan sesebuah institusi keluarga.
– BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.