WhatsApp Image 2022-08-27 at 3.59.15 PM

Cicak ekor monyet, ‘Godzilla’ jadi tarikan

AYER KEROH 27 Ogos – Cicak ekor monyet atau Monkey-Tailed Skink dan cicak yang menyerupai Godzilla (Indonesian Sailfin Lizard) menjadi antara tarikan di Taman Rama-Rama dan Reptilia Ayer Keroh.

Pengurus Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Qurratu Ain Rohaminordin berkata, dua spesies itu merupakan antara spesies yang unik dan jarang dilihat dan ia boleh disaksikan sempena Hari Cicak Sedunia bermula 19 Ogos hingga 18 September depan.

Katanya, cicak ekor monyet merupakan antara spesies cicak yang paling unik memandangkan ia akan bertelur dan kemudiannya menyimpan telur itu di dalam badan sebelum mengeluarkan anak sama seperti beranak.

“Istimewanya, ketika bunting, ia mempunyai sifat seakan manusia iaitu tempoh buntingnya selama sembilan bulan dan anak yang dilahirkan juga bersaiz lebih kurang seperti bayi manusia.

“Bagi Indonesian Sailfin Lizard pula, ia unik kerana mempunyai fizikal seakan dinosaur dan nama saintifiknya Hydrosaurus spp. juga seakan-akan nama haiwan purba itu,” katanya pada sidang media di Taman Rama-Rama dan Reptilia Ayer Keroh, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2022-08-27 at 3.59.50 PM
CICAK Godzilla atau Indonesian Sailfin Lizard.

Beliau berkata, selain dua spesies itu, orang ramai juga boleh melihat spesies cicak beracun dan berbisa yang dinamakan Gila monster.

“Gila monster ini adalah cicak yang dinamakan sempena tempatnya mula-mula ditemui iaitu di Gila River, Arizona, Amerika Syarikat.

“Boleh dikatakan di Malaysia, inilah satu-satunya taman yang mempunyai spesies ini kerana harganya yang mahal boleh mencecah RM20,000 hingga RM25,000 seekor selain ia juga merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

“Gila monster ini juga dianggap bahaya kerana ia mempunyai bisa yang sama seperti ular tedung selar,” ujarnya.

WhatsApp Image 2022-08-27 at 3.51.39 PM
GILA Monster

Tambah Qurratu Ain, selain boleh menyaksikan keluarga cicak dengan lebih dekat, pihaknya turut membawakan beberapa aktiviti kepada pengunjung yang datang ke taman itu.

Antara aktiviti yang disediakan ialah seperti ‘word search’, puzzle dan ‘fear factor’ yang mana pengunjung yang menyertai aktiviti itu boleh mengumpulkan ‘button badge’ istimewa sempena Hari Cicak Sedunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

144
WhatsApp Image 2022-08-27 at 3.25.09 PM Previous post 201 terima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka sesi terakhir
pdrm logo Next post Polis siasat kebocoran dokumen penghakiman perbicaraan kes Rosmah