CIPTA LOGO, TAGLINE DAPAT HADIAH LUMAYAN
AYER KEROH 17 September – Orang ramai dipelawa menyertai Pertandingan Reka Cipta Logo dan Tagline ‘Cashless Melaka’ bagi mempromosikan inisiatif transaksi tanpa tunai yang dilaksanakan di negeri ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pertandingan bermula 13 hingga 23 September ini turut menawarkan hadiah lumayan untuk para peserta.
“Tujuan pertandingan ini adalah untuk memilih logo dan ‘tagline’ yang mencerminkan penjenamaan dan aspirasi inisiatif tanpa tunai iaitu ‘Cashless Melaka’ yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
“Penyertaan percuma dan terbuka kepada warganegara Malaysia, peserta boleh imbas kod ‘QR’ pada poster hebahan bagi mendapatkan maklumat lanjut, mengisi borang dan syarat penyertaan.
“Selain itu peserta juga perlu mendaftar dan mengikuti saluran Telegram MyMelakaNews sebagai sokongan terhadap inisiatif Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Fairul Nizam peserta boleh menghantar seberapa banyak penyertaan bagi mendapatkan peluang lebih besar untuk menang pertandingan tersebut.
“Lebih banyak logo dan ‘tagline’ dihantar, lebih besar peluang untuk menang, kita harap pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan sekali gus mempromosikan transaksi tanpa tunai di Melaka.
“Peserta menghasilkan ‘tagline’ dan logo terbaik yang dipilih sebagai pemenang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta sijil penyertaan bagi johan, RM700 beserta sijil penyertaan (naib johan) dan RM400 beserta sijil penyertaan bagi tempat ketiga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.