‘Community Tourism’ perkasakan eko-pelancongan Paya Lebar

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER LIMAU 23 September – Kempen ‘Community Tourism’ di pusat eko-pelancongan Paya Lebar, Lubok China, Masjid Tanah akan terus diperkasakan bertujuan membawa limpahan manfaat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia, Shahrin Mokhtar berkata, pihaknya komited bagi mempromosikan kawasan itu sebagai antara salah satu tarikan pelancongan di Negeri Melaka.

Jelasnya, menerusi kempen itu pihaknya menekankan konsep ‘homestay’ dan ‘kampungstay’ yang disertakan pakej aktiviti sekitar sungai berkenaan yang boleh menjana pendapatan untuk penduduk tempatan.

“Kami mahu penduduk tempatan mendapat impak daripada aktiviti pelancongan dilaksanakan, semua pihak seperti pengusaha kecil dan sederhana, nelayan dan peniaga boleh berkongsi rezeki.

“Semua ini adalah perancangan kita untuk membantu penduduk kampung kerana selain memperkasa pelancongan luar bandar kita juga mahu bantu orang kampung jana pendapatan selepas terjejas akibat COVID-19.

“Salah satu caranya adalah menerusi homestay dan kampungstay yang diperkenalkan Tourism Malaysia dan kita mahukan semua aktiviti pelancongan di sesebuah kawasan itu dapat dinikmati semua penduduk bukan satu pihak sahaja,” katanya.

BUAYA
BUAYA di Sungai Paya Lebar ketika menyusuri sungai pada program “Jom Balik Kampung” Homestay Malaysia@Melaka yang bermula di Jeti Pengkalan Nelayan Paya Lebar, Masjid Tanah. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Jom Balik Kampung Homestay Malaysia @ Melaka 2022 di Pengkalan Nelayan Paya Lebar, di sini, hari ini.

Terdahulu kira-kira 30 delegasi membabitkan pemain industri dan Tourism Malaysia mengadakan lawatan ke pusat eko-pelancongan itu bagi meninjau potensi Paya Lebar untuk diangkat sebagai destinasi pilihan pelancong di Negeri Melaka.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2951
Kongsi :
Previous post Bob Lokman meninggal dunia
Next post Maklum jika ada longkang tidak diselenggara di Merlimau
Ubah saiz-+=