Contohi pegawai polis berpengalaman – Ketua Polis

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 30 Mac – Semua pegawai polis muda perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi selain taat setia kepada pemimpin ke arah menjadikan pasukan polis terus berjaya di masa hadapan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga adalah pasukan keramat dan kepentingan berpasukan menjadi keutamaan berbanding kepentingan diri dalam menentukan kejayaan selain dapat menawan hati masyarakat dalam menjaga ketenteraman negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, integriti pegawai dan anggota polis khususnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ini terkawal dan semakin baik ditambah dengan bimbingan serta tunjuk ajar daripada pegawai yang sudah lama berkhidmat.

“Kita mesti memberi tunjuk ajar dengan cara yang betul malah setiap kesalahan itu mesti diambil tindakan serta merta terutamanya membabitkan tatatertib berkaitan integriti.

“Ini kerana jika pucuk pimpinan membiarkan kesalahan tatatertib dan ingtegriti itu berlarutan ia akan menjadi barah dalam pasukan malah menjadi tanggungjawab kepada saya serta pimpinan lain untuk tegas dalam soal integriti dan juga disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menjadi saksi pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka antara Datuk Shahrul Lalli Masduki dan Pemangku Senior Asisten Komisioner (SAC) Razali Abu Samah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Abdul Majid berkata, kesalahan integriti dan disiplin mesti diambil tindakan segera selain tidak boleh ditangguh atau dibiarkan agar ia tidak terus merebak dalam kalangan anggota atau pegawai yang lain.

“Ini boleh menjadi contoh (apabila tindakan diambil) jika tidak diambil satu tindakan yang tegas lama kelamaan pasukan polis akan menjadi lemah dan kemudian menjadi cemuhan masyarakat.

“Selepas kira-kira lima bulan menjadi Ketua Polis Melaka saya lihat tahap disiplin atau integriti tidak membimbangkan dan berdasarkan statistik yang melakukan kesalahan tatatertib tidak kurang daripada dua peratus dan ia lebih kepada kesalahan berkaitan dalaman seperti datang lewat atau berambut panjang,” katanya.

Terdahulu, Razali Timbalan Ketua Polis negeri berkuatkuasa hari ini menggantikan Shahrul Lalli yang kini menjadi Timbalan Ketua Polis Selangor dan dinaikkan pangkat dengan memangku jawatan Deputi Komisioner Polis (DCP).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1046
Kongsi :
Previous post Selenggara kolam takungan air antara usaha atasi banjir kilat – KM
Next post Lebih rela petik cili di Lubok China dari petik anggur di Australia
Ubah saiz-+=