Contohi SMART hubungi penerima vaksin – Sulaiman

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

LENDU 8 Jun – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali meminta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini mencontohi Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) membantu PPV Masjid Tanah, di sini menghubungi penerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata, selain memastikan penerima terbabit peka mengenai janji temu masing-masing, langkah itu juga mampu mempercepat pemberian vaksin mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Beliau menjelaskan, masih ada penerima vaksin yang sepatutnya menghadiri janji temu berkenaan gagal hadir di PPV semata-mata kerana terlupa atau tidak tahu langsung mengenainya.

SULAIMAN berbincang dengan pegawai JKNM mengenai operasi di PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Hal itu diburukkan dengan keadaan anak penerima yang membantu mendaftarkan ibu bapa melalui aplikasi MySejahtera, tidak peka terhadap langkah untuk menyemak janji temu ibu bapa masing-masing.

“Kak Kiah, Ramasamy yang warga emas tidak ingat atau tidak tahu langsung janji temu untuk menerima suntikan vaksin dan anak pula tidak peka untuk menyemak.

“Jadi, dengan adanya pasukan sukarelawan yang menghubungi penerima vaksin, insya-Allah isu ketidakhadiran mereka di PPV boleh diatasi,” katanya ketika ditemui selepas melawat operasi PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Datuk Dr Ismail Ali dan Ketua Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Pakar Perunding Perubatan Keluarga Dr Norsiah Ali.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan kepada Dr Norsiah Ali ketika meninjau operasi PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

Sehubungan itu, Sulaiman mencadangkan PPV berkenaan mencontohi SMART yang ditubuhkan Mas Ermieyati April lalu yang menghubungi penerima vaksin satu atau dua hari sebelum janji temu bagi mengingatkan mereka supaya hadir untuk tujuan itu.

Sulaiman juga berkata, lapan PPV tambahan yang dicadangkan sebelum ini, akan beroperasi secepat mungkin bagi melengkapkan enam PPV sedia ada di negeri ini.

“Saya berpuas hati dengan operasi PPV Masjid Tanah kerana aliran kehadiran penerima vaksin, pendaftaran, pemeriksaan kesihatan hinggalah menerima suntikan, saya dapati lancar.

“Saya harap lebih ramai sukarelawan boleh hadir membantu doktor, jururawat, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan seumpamanya bagi meningkatkan kelancaran operasi,” katanya.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, antara PPV baharu yang bakal beroperasi ialah dewan tiga Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN); dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Bukit Beruang dan dewan Universiti Multimedia Melaka (MMU) di Jalan Ayer Keroh Lama, Bukit Beruang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1398
Kongsi :
Previous post SC mohon bantuan awam kesan bekas perunding unit amanah
Next post Kelantan sumbang RM500,000 kepada HRPZ II, naik taraf sistem perkhidmatan kardiologi
Ubah saiz-+=