Kelantan sumbang RM500,000 kepada HRPZ II, naik taraf sistem perkhidmatan kardiologi

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KOTA BHARU 8 Jun – Kerajaan Kelantan menyumbang sejumlah RM500,000 kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, khususnya bagi menaik taraf sistem ‘electrophysiology study’ iaitu perkhidmatan rawatan kepada pesakit jantung.

Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata, dengan penaiktarafan sistem bagi unit kardiologi itu, rawatan jantung kepada pesakit yang memerlukan dapat diberikan dengan lebih cepat dan berkesan tanpa perlu dirujuk ke pusat rawatan di luar negeri itu.

“Selain itu, ia diharapkan dapat mengurangkan kadar mortaliti dan morbiditi pesakit jantung,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga memberi sumbangan sebanyak enam unit penghawa dingin mudah alih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk kegunaan pasukan bergerak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kelantan.

“Program suntikan vaksin secara mobile tersebut akan bergerak di kampung-kampung serta kawasan tumpuan orang ramai. Semoga sumbangan ini dapat membantu menambah keselesaan setiap petugas barisan hadapan dalam usaha menyegerakan jumlah suntikan vaksin dalam kalangan rakyat Kelantan seterusnya mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Penyerahan kedua-dua sumbangan berkenaan berlangsung di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, yang turut dihadiri Pengarah JKNK Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Ketika ditemui, Dr Selasawati berkata sumbangan itu dapat memperkasa perkhidmatan HRPZ II terhadap pesakit jantung dalam memendekkan masa menunggu mereka mendapatkan rawatan terutama ketika negara dilanda COVID-19 dan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perkhidmatan (electrophysiology) di HRPZ II merupakan satu-satunya di Kelantan dan sudah pasti dengan sumbangan untuk menaik taraf sistem itu akan dapat mempercepatkan rawatan.

“Tambahan pula, HRPZ II bukan sahaja merawat pesakit dari Kelantan malah dari Terengganu juga,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan Kelantan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

642
Kongsi :
Previous post Contohi SMART hubungi penerima vaksin – Sulaiman
Next post KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM19.29 bilion bagi suku pertama 2021
Ubah saiz-+=