COVID: 0.43 peratus kes baharu babitkan kategori tiga hingga lima

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Sebanyak 105 kes iaitu 0.43 peratus daripada 24,466 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam terdiri daripada kategori tiga, empat dan lima, berbanding 129 kes yang rekodkan pada Sabtu lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata baki 24,361 kes (99.57 peratus) terdiri daripada kategori satu dan dua, dengan pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kepada 3,419,636 kes.

“Daripada 105 kes kategori tiga, empat dan lima yang dilaporkan; 25 kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi; 56 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 24 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital pada 27 Feb (semalam) adalah sebanyak 1,559 kes dan daripada jumlah itu, 569 kes iaitu 36.5 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala baki 990 kes (63.5 peratus) melibatkan kategori satu dan dua.

Berkenaan jumlah kes sembuh, beliau berkata sebanyak 22,380 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh meningkat kepada 3,085,940.

Berhubung penggunaan katil kes kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata beberapa negeri menunjukkan peratusan pengisian 50 peratus atau lebih iaitu Kelantan (94 peratus), Johor (69 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus), Perak dan Melaka masing-masing 58 peratus.

Mengenai situasi semasa bencana banjir, beliau berkata sehingga 3 petang semalam, sebanyak dua kes COVID-19 telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir di Terengganu dengan jumlah kumulatif 25 kes.

“Kesemua kes COVID-19 yang dilaporkan telah dikenal pasti dan diasingkan dari mangsa banjir yang lain di PPS (pusat pemindahan sementara) khas. Tiada kluster dalam kalangan mangsa banjir dilaporkan di PPS,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata selain itu terdapat dua fasiliti kesihatan di Terengganu yang terjejas banjir (tahap 1) iaitu Klinik Kesihatan Wakaf Tapai, Marang dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus, namun kedua-duanya dilaporkan masih beroperasi seperti biasa.

“Pada 27 Feb, terdapat tujuh kes jangkitan pernafasan akut dan satu kes penyakit kulit dilaporkan. Tiada kes konjunktivitis, typhoid, kolera, leptospirosis, dan denggi dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post Al-Sultan Abdullah tegur isu rasuah di Malaysia
Next post Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan tiba di Kuala Lumpur esok – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=