COVID-19: KKM siap-siaga kemungkinan peningkatan kes

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PUTRAJAYA 4 Okt. – Kementerian Kesihatan (KKM) telah bersiap sedia untuk menghadapi jangkaan peningkatan kes baharu COVID-19 dalam tempoh antara seminggu dan dua minggu akan datang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya KKM lebih bersedia dari segi peralatan dan pengalaman merawat pesakit COVID-19 kali ini, jika dibandingkan ketika penularan pandemik bermula Mac lepas.

Beliau berkata jangkaan peningkatan kes baharu itu adalah berdasarkan susulan pengesanan aktif yang dijalankan di kawasan tumpuan terutamanya di Sabah dan Kedah.

“Aktiviti pengesanan sedang dijalankan di lapangan dan kita akan mendapat (ada) peningkatan kes yang tertumpu di kawasan itu. Kami jangka (kes baharu) akan meningkat dalam tempoh seminggu, dua minggu ini.

“Inilah tindakan kita dari mula lagi dan kita dapat lihat pengawalan kes jangkitan yang baik,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, semalam

Dr Noor Hisham berkata jangkitan kes positif COVID-19 melibatkan Kluster Benteng di Sabah dan Kluster Tembok di Kedah adalah terkawal kerana kebanyakan mereka dikurung di kawasan penjara dan pusat tahanan.

Beliau berkata KKM yakin melalui kaedah kesihatan awam, ia dapat memutuskan rantaian jangkitan seperti kejayaan menamatkan 101 kluster sebelum ini.

Menurutnya, itu adalah kaedah yang terbaik dalam mengawal penularan jangkitan memandangkan vaksin masih belum ditemui.

“Kalau kita mengamalkan kaedah kesihatan awam seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan, kita akan mampu melandaikan lengkuk gelombang ketiga sekali lagi seperti kita berjaya melandaikan lengkuk dua gelombang sebelum ini.

“Musuh kita adalah sama, jangan salahkan satu sama lain. Kerjasama padu semua pihak adalah diperlukan. Kalau kita amalkan kaedah kesihatan awam, InsyaAllah kita boleh putuskan rantaian jangkitan,” katanya dan menambah bahawa kaedah itu lebih berkesan mencegah penularan jangkitan sehingga 82 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata KKM sedang mencari prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 di pusat tahanan.

Mengulas keperluan untuk menambah pasukan perubatan dan peralatan di Sabah, beliau berkata mobilisasi bantuan telah bermula dua minggu lepas dan keperluan untuk menambah bantuan akan dipantau dari semasa ke semasa.

Dr Noor Hisham berkata KKM menggerakkan pasukan bantuan, menghantar set peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan dan membuka pusat rawatan berisiko rendah sebagai pusat kuarantin bagi kes positif COVID-19 yang stabil sebagai langkah pencegahan, dan kawalan penularan jangkitan dari Sabah dapat dikawal segera,

Daripada 317 kes baharu hari ini, 37 kes adalah pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept sebanyak 176 kes.

Berhubung kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak di sekolah, beliau berkata KKM pada masa ini belum mengesyorkan penutupan sekolah, namun pihak sekolah perlu berhati-hati dan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan dalam menjalankan aktiviti di sekolah.

— BERNAMA

Views:

248
Kongsi :
Previous post Muhammad Safawi ‘terbang’ ke Portugal
Next post Sultan Ibrahim berkenan kurnia pingat kepada petugas barisan hadapan COVID-19
Ubah saiz-+=