Sorting by

×

Sultan Ibrahim berkenan kurnia pingat kepada petugas barisan hadapan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JOHOR BAHRU 4 Okt. – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang, khusus menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini yang berterusan bertungkus-lumus memerangi penularan COVID-19.

Baginda bertitah pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan.

“Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.

“Teruskan usaha baik anda semua dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini daripada terus menular,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), di sini.

Kenyataan baginda itu dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Johor, hari ini.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima menghadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Pada pertemuan itu, Abdul Rahim turut mempersembahkan contoh surat akuan berkenaan kepada baginda.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan Bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat reka bentuk 10 tangan memegang erat antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

Sultan Ibrahim bertitah pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak, yang akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.

“Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua-ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain,” titah baginda lagi.

— BERNAMA

Views:

449
Kongsi :
Previous post COVID-19: KKM siap-siaga kemungkinan peningkatan kes
Next post ‘Kami terdedah risiko dilanggar kapal’
Ubah saiz-+=