COVID-19: Melaka nafi penggunaan katil ICU lebih 50 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 23 Feb – Melaka menafikan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) membabitkan pesakit COVID-19 di negeri itu melebihi 50 peratus seperti yang dilaporkan media.

EXCO Kesihatan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, setakat semalam (22 Feb) penggunaan katil ICU di Melaka adalah pada kadar 34.2 peratus.

Jelasnya, daripada 38 katil ICU yang diperuntukkan di tiga buah hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hanya 13 daripadanya diisi dengan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5.

Jumlah itu, ujarnya membabitkan 12 pesakit di Hospital Melaka dan satu pesakit di Hospital Jasin.

“Daripada 13 pesakit yang ditempatkan di ICU, tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator).

“Jadi, tidak benar untuk mengatakan kapsiti penggunaan ICU di Melaka sudah melebihi 50 peratus seperti yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, secara keseluruhan kadar penggunaan katil pesakit COVID-19 (ICU dan bukan ICU) di hospital kerajaan adalah pada kadar 59.3 peratus iaitu membabitkan 144 pesakit daripada 243 katil yang disediakan.

Manakala di pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) pula, kadar penggunaan katil pada tahap 54.5 peratus membabitkan 572 pesakit daripada 1,049 katil yang disediakan.

Sebelum ini, media melaporkan enam negeri merekodkan penggunaan katil ICu melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kelantan muncul negeri tertinggi dengan penggunaan katil ICU sebanyak 78 peratus diikuti Johor (69 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus), Melaka (54 peratus), Perlis (45 peratus) dan Selangor (45 peratus).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

783
Kongsi :
Previous post Terowong ‘angker’ dikhuatiri ancam penduduk
Next post KKM nafi video tular pelajar sekolah alami reaksi selepas divaksin
Ubah saiz-+=