COVID-19 : Melaka terus bantu peniaga terkesan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 18 Feb. – “Sedikit sebanyak saya tahu selok-belok perniagaan yang ada untung rugi, jatuh bangun dan pasang surutnya.”

Itu luahan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam usaha membantu peniaga terkesan di negeri ini menerusi platform ‘Melaka Bebas Berniaga’ selama satu tahun.

Menurutnya, inisiatif itu ternyata membantu peniaga di negeri ini yang ingin mencari atau menambah sumber pendapatan sepanjang penularan wabak COVID-19 sekali gus menjadi negeri pertama mewujudkan inisiatif seumpamanya.

SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti pelancaran program secara maya.

“Peniaga hanya perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mempunyai lesen perniagaan bagi mempermudahkan permohonannya.

“Sebab itu sekarang, kalau lalu sekitar Melaka kita nampak ramai peniaga-peniaga kecil yang dah mula jual takoyaki, ayam gunting, roti kukus, ayam kepak madu, kuih keria dan macam-macam lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Keusahawanan Atas Talian dan Kursus Keusahawanan Digital secara atas talian menerusi aplikasi zoom di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP), Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Muhammad Firdaus Azharudin.

Sulaiman berkata, beliau yakin inisiatif ‘Melaka Bebas Berniaga’ dapat dijayakan pada tahun ini dengan sokongan padu semua pihak termasuk usahawan dan bakal usahawan serta agensi pelaksana.

“Sebelum saya jadi YB (Yang Berhormat) dan Ketua Menteri Melaka, saya pernah terlibat dalam dunia keusahawanan dan perniagaan dalam industri minyak serta gas.

“Jadi saya tahu selok belok perniagaan yang ada untung rugi, jatuh bangun dan pasang surutnya dan berusaha merencana inisiatif bagi membantu golongan usahawan dan bakal usahawan termasuk penjaja kecil,” katanya lagi.

Kursus tersebut disertai lebih 300 usahawan dan bakal usahawan Negeri Melaka.

Sebelum ini Sulaiman menjangkakan lebih 2,000 peniaga dan penjaja di negeri ini akan diberikan lesen menerusi inisiatif itu dalam tempoh dua bulan ini.

Pemberian lesen itu satu daripada 40 pendekatan yang difokuskan kepada rakyat dalam Belanjawan Negeri Melaka 2021.

Views:

250
Kongsi :
Previous post COVID-19: Negeri Sembilan dan Sarawak catat kebolehjangkitan harian tertinggi semalam
Next post Mahkamah Tinggi arah Rosmah bela diri atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid
Ubah saiz-+=