COVID-19: Penerbangan Melaka – Pulau Pinang ditangguh lagi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MERLIMAU 20 Okt – Penerbangan laluan antara Melaka dan Pulau Pinang oleh syarikat penerbangan, Malindo Air yang dijangka beroperasi November ini sekali lagi ditangguh ke tarikh yang akan diumumkan kelak.

Pengerusi Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastukrur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, perkara itu diputuskan kerajaan negeri berikutan keadaan semasa yang menunjukkan kes COVID-19 semakin meningkat.

Katanya, pihaknya sebelum ini menangguhkan dari September ke Oktober sebelum memuktamadkan tarikh baru pembukaan semula penerbangan itu pada November kerana mahu mengiatkan promosi perkhidmatan itu.

“Kita bagaimanapun sudah cuba sedaya upaya, namun memandangkan kes (COVID-19) yang semakin meningkat, kita akan tangguh lagi meskipun Malindo Air sudah bersetuju untuk memulakan operasi penerbangan pada November.

“Kali ini, saya tidak mahu menetapkan tarikh pengoperasian semula penerbangan itu namun ia bergantung kepada keadaan semasa jika kes kembali menurun,” katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan tapak ke Projek Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Padang Awam Merlimau dan Projek Bandar Selamat, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Datin Sapiah Haron.

Roslan berkata, pertemuan bersama agensi pelancongan bagi menarik permintaan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu juga terpaksa ditangguhkan.

“Kita hanya mampu merancang malah banyak program membabitkan pertemua bersama agensi pelancongan, malah di peringkat Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) turut terpaksa menangguhkan program berikutan peningkatan kes itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, perancangan untuk melaksanakan pembinaan bagi memanjangkan landasan Lapangan Terbang Antarabangaa Melaka (LTAM) turut ditangguhkan.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan sudah bersetuju untuk meluluskan permohonan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek naik taraf itu.

“Bagaimanapun, perlaksanaan itu juga terpaksa ditangguh dan jika ia diteruskan, kita mengalami masalah kekurangan pekerja untuk melaksanakan pembinaan landasan itu.

“Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sudah bersetuju untuk permohonan kerajaan negeri namun masalah perlaksanaan itu bergantung kepada keadaan semasa (situasi COVID-19),” katanya.

Views:

480
Kongsi :
Previous post Yayasan Melaka tarik perniagaan bernilai RM200 juta
Next post Tiada larangan rentas negeri Melaka
Ubah saiz-+=