COVID: 491 kes, 1 kluster baharu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 6 Ogos – Satu lagi kluster baharu direkodkan hari ini membabitkan tempat kerja di sebuah kilang di Krubong dengan jumlah 27 kes aktif setakat ini.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, kluster baharu itu dinamakan sebagai Kluster Industri Jalan PK 32.

Kata kenyataan itu, penularan kes bagi kluster berkenaan berpunca daripada kes sporadik dan menular dalam kalangan pekerja kilang terbabit.

“Kes indeks bagi kluster berkenaan dikesan menerusi saringan kontak keluarga dan jangkitan seterusnya merebak ke tempat kerja serta keluarga.

“Dengan pertambahan dua kes baharu hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 27 kes,” katanya.

JKN berkata, kes baharu direkodkan di negeri ini adalah sebanyak 491 kes membabitkan 446 kes warganegara dan 45 kes bukan warganegara.

“Sebanyak 285 kes dikesan menerusi saringan kontak keluarga, iaitu antara punca jangkitan utama kes baharu itu.

“Sebanyak 89 kes positif dikesan menerusi saringan bergejala orang ramai manakala 78 kes membabitkan kluster kilang dan 28 kes adalah saringan di tempat kerja bukan industri,” katanya.

Dalam pada itu, JKN turut memaklumkan empat kes kematian dicatatkan hari ini membabitkan daerah Melaka Tengah dan Jasin.

“Kematian itu membabitkan seorang lelaki berusia 53 tahun di Bandar Melaka yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan angin ahmar manakala seorang lagi lelaki usia sama di Serkam mempunyai latar belakang penyakit jantung serta buah pinggang.

“Dua lagi kematian membabitkan wanita berusia 40 dan 66 tahun dari Nyalas dan Bukit Lintang, masing-masing mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi,” kata kenyataan itu.

JKN juga memaklumkan 476 kes sembuh hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post Sekelip mata COVID-19 ‘serang’ 47 ahli keluarga, korbankan bapa mentua
Next post Mesyuarat kedua MPN bincang keperluan buka semula sektor perniagaan
Ubah saiz-+=