COVID: Industri Pelancongan Kelantan rugi RM2.6 bilion

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA BHARU: Industri pelancongan dan budaya di Kelantan dilapor mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion akibat pandemik COVID-19, tahun lalu.

Menurut laporan BH Online yang memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman, angka dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu termasuk penyusutan lebih 2.2 juta pelawat.

Beliau berkata, penularan COVID-19 menyebabkan kemasukan pelancong ke negeri itu berkurangan kerana pergerakan yang dihadkan.

“Kerugian semasa dialami sektor pelancongan negara pula dianggarkan mencecah RM45 bilion pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN- Galas) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Md Anizam berkata, bagi membantu pemain industri kerajaan negeri menyalurkan beberapa bantuan berjumlah lebih RM724,750 termasuk kepada pihak hotel, bot pelancong dan pemandu pelancong.

“Antara bantuan yang kita salur termasuk sanitasi kepada hotel yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) di negeri ini, wang tunai RM1,000 masing-masing kepada agensi pelancongan, penggiat seni, pemandu beca dan sebagainya.

“Di samping sumbangan kerajaan Kelantan, kita turut menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi membantu untuk meringankan beban. Sebagai usaha memajukan semula industri pelancongan, kerajaan negeri menerusi gelembung pelancongan membuat pelbagai promosi termasuk secara virtual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post Terima kasih Tan Sri Mahiaddin
Next post Kesilapan teknikal jejaskan aksi sulung Nur Syaiful di Paralimpik Tokyo
Ubah saiz-+=