Terima kasih Tan Sri Mahiaddin

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

SEPERTI sedia maklum, Tan Sri Mahiaddin Yasin telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berkuatkuasa 16 Ogos 2021. Begitu juga keseluruhan anggota kabinet yang berkhidmat di bawah pentadbiran beliau.

Bagi pihak organisasi Mat dan semua, kami mengucapkan setinggi penghargaan dari terima kasih atas segala jasa dan bakti yang telah dicurahkan. Biar pun era Tan Sri Mahiaddin telah menjadi sejarah, ianya pasti dikenang jutaan rakyat Malaysia.

‘Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’. Sebagai insan yang telah mengharungi ‘onak dan duri’ politik, tentunya Tan Sri Mahiaddin lebih maklum dengan situasi yang menimpa diri beliau.

Kabinet beliau berhadapan cabaran yang cukup bergelora seawal pembentukannya. Situasi politik yang turun naik, masalah COVID serta penguncupan ekonomi sedia menanti ketika itu.

Senario semasa juga tidak berpihak kepada beliau. Keadaan yang nampak cantik pada awalnya, tiba-tiba merudum. Situasi seolah-olah tidak dapat dikawal lagi. Tak perlulah Mat mengulas kenapa dan mengapa terjadi demikian.

Sebagai manusia biasa, Tan Sri Mahiaddin punya kelebihan serta kekurangan. Ia lumrah bagi seorang pemimpin. Mereka sedar diri mereka sentiasa terbuka dengan pujian dan kritikan awam.

Apa pun, nama beliau sebagai pemimpin negara telah terpahat di dalam sejarah negara. Terima kasih Tan Sri atas segala khidmat bakti kepada Malaysia dan Melaka amnya!

Dak Mat : Harap ‘suhu’ politik di Melaka tenang.

BULAN KEMERDEKAAN YANG HAMBAR?

Kita telah memasuki bulan Ogos. Inilah bulan kita menyuburkan semangat patriotik dengan kempen perayaan bulan kemerdekaan. Jika dahulu, kebanyakan tempat di dalam negara akan dibanjiri dengan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

Namun kini senarionya amat berbeza. Tiada lagi ratusan kibaran Jalur Gemilang membanjiri premis-premis kerajaan dan swasta. Tiada lagi kemeriahan sekolah-sekolah menyambut perayaan bulan kemerdekaan sehingga bulan September nanti.

Semuanya gara-gara pandemik COVID-19. Seantero dunia merasakan kesannya. Kegiatan dan pergerakan kita semua sangat terhad. Malaysia pula masih lagi berada di tahap kawalan yang ketat untuk keluar dari pandemik ini.

Namun itu semua bukan alasan untuk kita mengabaikan hari ulangtahun yang amat bersejarah ini. Tanggal 31 Ogos dan 16 September perlu diingati sebagai hari paling bersejarah bagi Malaysia.

Biarpun tanpa acara sambutan besar-besaran, semangat patriotik perlu disuburkan. Kibaran bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ amat perlu bagi menggambarkan betapa kita mencintai negara Malaysia yang bertuah ini.

Mat juga menyokong penuh program bulan kemerdekaan yang digerakkan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) Melaka. Tentunya kemeriahan tetap dirasai walaupun sambutan dibuat dengan norma baharu.

Mat menyeru semua warga Melaka yang dicintai, marilah kita semua bangkit dan menyokong program Jabatan Penerangan Melaka. Ayuh! Kita rayakan bulan kemerdekaan ini tanpa mengabaikan SOP.

Dak Mat : Rindu perarakan Hari Kebangsaan di Dataran Pahlawan.

INI BUKAN FILEM ‘MISSION IMPOSSIBLE’

 

Mat mengikuti perkembangan di Afghanistan melalui siaran berita dan media sosial. Amat tersentuh hati melihat rakyat Afghanistan menyerbu lapangan terbang Kabul dengan harapan dapat keluar dari negara mereka.

Mat cukup sedih menonton klip video rakyat Afghanistan yang cuba berpaut di pesawat C-17 Tentera Udara Amerika Syarikat. Ini dilakukan ketika pesawat tersebut sedang bergerak untuk terbang meninggalkan Kabul.

Tersebar juga klip video mendakwa penumpang yang berpaut di luar kapalterbang terjatuh semasa di udara. Video tersebut turut mendakwa mayat telah dijumpai di atas bumbung rumah sekitar Kabul.

Soalnya, dimana kawalan keselamatan di lapangan terbang Kabul? Mat faham jika keadaan negara tersebut dalam situasi huru-hara. Namun aspek keselamatan jangan diabaikan sama sekali!

Juruterbang yang membawa pesawat tersebut juga amat tidak ‘berhati perut’. Beliau telah memadamkan sifat kemanusiaan yang ada dalam dirinya secara ‘total’. Bagaimana beliau boleh terfikir untuk berlepas sedangkan ratusan manusia masih berpaut di keliling pesawat tersebut.

Ini bukan filem ‘Mission Impossible’ Hollywood! Ini realiti dan harapan sejumlah manusia yang berusaha dan berharap. Juruterbang sepatutnya menghentikan pesawat dan menyerahkan situasi kepada kru keselamatan darat untuk bertindak.

Jika insiden ini benar, juruterbang dan kru tersebut perlu dikenakan tindakan. Ini perbuatan jenayah. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antarabangsa perlu bersuara!

Dak Mat : Rasanya Tom Cruise pun ngeri tengok insiden ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

703
Kongsi :
Previous post Waspada penjenayah siber, elak anak jadi mangsa
Next post COVID: Industri Pelancongan Kelantan rugi RM2.6 bilion
Ubah saiz-+=