Cuaca panas: Orang ramai mula ambil langkah berjaga-jaga

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 1 Mei – Fenomena cuaca panas tidak menghalang orang ramai daripada melakukan aktiviti luar termasuk mengunjungi tempat tumpuan ramai di sekitar Bandaraya Melaka.

Tinjauan Melaka Hari Ini di tempat awam mendapati, kebanyakan pengunjung mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Ada yang menggunakan payung dan memakai pelitup muka selain tidak kurang ramai yang membawa bersama-sama air minuman.

Bagi pelancong Nor Farhana Rozlan, 30, berkata, sebagai ibu sudah semestinya ada perasaan takut dalam dirinya ketika membawa anak keluar ke tempat awam namun langkah keselamatan perlu diambil cakna.

Katanya, dalam keadaan yang tidak menentu yang ada kalanya hujan dan panas sehingga boleh terkena strok haba, ibu bapa perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga.

“Untuk saya dan suami sebelum keluar kami sudah siapkan barangan anak antaranya pelitup muka, kipas kecil dan payung.

“Malah paling utama adalah dengan membawa air minuman yang cukup kerana dalam keadaan sekarang mereka perlu kerap minum air,” katanya yang datang dari Klang, Selangor.

Bagi jururawat G Subashieni, 31, berkata, walaupun pada masa ini orang ramai masih boleh keluar dan mengunjungi tempat-tempat tumpuan namun perlu mengelak daripada terdedah terus kepada cuaca panas.

“Tidak dinafikan berbanding Kuala Lumpur, cuaca di Melaka agak panas jadi orang ramai perlu mengambil berat serta tahu menjaga diri dalam keadaan sekarang ini.

“Dalam bergembira dengan bersiar-siar pastikan minum air dengan cukup jangan sampai dehidrasi malah saya sendiri membawa bersama-sama air minuman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap tanda-tanda awal strok haba terutamanya kepada mereka yang mudah terdedah kepada komplikasi tersebut seperti kanak-kanak dan warga emas, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengamal Perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman berkata strok haba adalah penyakit disebabkan kepanasan melampau yang didahului oleh kejang haba (heat cramp), diikuti dengan kelesuan haba.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1326
Kongsi :
Previous post Waspada cuaca buruk pada sebelah petang
Next post Tembikai ‘gergasi’ tanpa biji dari Tehel
Ubah saiz-+=