Waspada cuaca buruk pada sebelah petang

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 1 Mei – Hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda seluruh negara pada sebelah petang.

Ia berikutan musim peralihan monsun yang membawa tiupan angin dari Timur Laut.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu laporan video hari ini memaklumkan, hujan akan bermula di negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Timur Johor pada petang nanti sebelum bergerak ke negeri-negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Cuaca sama turut dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak.

Jelas kenyataan itu, keadaan cuaca lembap turut dijangka boleh berlarutan hingga ke malam.

Orang ramai diminta berwaspada dengan corak cuaca sejak kebelakangan ini di mana rantau negara akan mengalami cuaca panas terik pada waktu tengah hari, tetapi ribut petir berintensiti tinggi akan berlaku pada lewat petang.

Jangkaan cuaca buruk itu berpotensi menyebabkan angin kencang, banjir kilat dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Orang ramai dinasihat peka dan cakna fengan amaran dikeluarkan MetMalaysia. Untuk maklumat lanjut boleh layari www.met.gov.my atau muat turun aplikasi mycuaca,” kata laporan itu.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut memaklumkan amaran cuaca buruk pada sebelah petang akan mula berkurangan apabila angin mula bertiup dari arah Barat Daya yang menandakan tamatnya peralihan monsun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Bermain bara demi kekalkan tradisi Kuih Bakar Kuala Ina
Next post Cuaca panas: Orang ramai mula ambil langkah berjaga-jaga
Ubah saiz-+=