Cukup sekali menjadi mangsa wabak

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

LENDU 11 Jun – Cukup sekali menjadi mangsa wabak polio ketika berusia dua bulan dan kali ini, Zainal Salleh, 60, tidak mahu menjadi mangsa COVID-19.

Selepas 60 tahun diserang polio yang menyebabkan kaki kirinya tidak berfungsi dengan sempurna, kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Alor Gajah itu berusaha untuk mengelak daripada dijangkiti wabak COVID-19 yang lebih berbahaya.

Sehubungan itu, lelaki orang kurang upaya (OKU) itu menggagahkan diri untuk hadir menerima suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini walaupun terpaksa berkerusi roda dan memandu sendirian.

ZAINAL hadir berkerusi roda untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Zainal berkata, ibunya memberitahu dia diserang demam panas beberapa bulan selepas dilahirkan pada 1961 sebelum dijangkiti virus polio yang menular menjadi wabak ketika itu.

“Pada tahun itu ada ramai bayi diserang virus polio, termasuk saya kerana ketika itu wabak polio merebak dengan cepat hingga menyebabkan kaki kiri saya tidak berfungsi.

“Bagaimanapun, alhamdulillah, kaki kanan berfungsi dengan baik tetapi dalam keadaan yang agak lemah kerana terpaksa menampung berat badan,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan itu.

Zainal yang bakal bersara daripada tugasnya sebagai Penolong Juruukur Bahan menjelang September depan bagaimanapun berkata, manusia harus berikhtiar mengelak daripada dijangkiti pandemik itu tetapi tetap tidak boleh lari daripada takdir Allah.

MAT SALI mendengar penjelasan jururawat mengenai janji temu untuk menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah.

Bagi Mat Sali Jali, 60, pula dia mendengar bermacam-macam perkara negatif mengenai vaksin tetapi bertindak bijak dengan mendapatkan pandangan adik-beradiknya.

Nelayan terbabit berkata, dia yang tidak ada isteri dan anak, bergantung pada pandangan adik-beradiknya mengenai pengambilan vaksin.

“Alhamdulillah, mereka menggalakkan saya mengambil vaksin kerana memahami vaksin dicipta oleh ahli sains bukan untuk memudaratkan manusia, sebaliknya untuk membantu antibodi badan kita melawan virus COVID-19,” katanya.

Abdul Halim Mat Ganti, 62, berkata urusan pendaftaran sebagai penerima vaksin dilakukan anaknya dua bulan lalu dan dia bersyukur hari ini dipanggil untuk menerima suntikan.

“Saya lebih takut COVID-19 daripada jarum suntikan dan vaksin itu sendiri kerana ada penduduk kampung saya sudah meninggal dunia akibat diserang penyakit berbahaya itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan kampung itu dan berjanji akan setia menunggu untuk menerima suntikan dos kedua pada Julai

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post SAM gesa kerajaan Pahang hentikan aktiviti perlombongan di Tasik Chini
Next post 3 individu ‘share’ terbanyak dapat hadiah wang tunai setiap minggu
Ubah saiz-+=