3 individu ‘share’ terbanyak dapat hadiah wang tunai setiap minggu

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 11 Jun – Tiga pemilik akaun yang berkongsi pautan Majlis Bacaan Yasin Mingguan Setiap Jumaat Serentak Seluruh Negeri Melaka secara maya terbanyak di pelbagai platform media sosial akan menerima hadiah antaranya wang tunai dan barangan setiap minggu daripada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengarahnya Datuk Che Sukri Che Mat berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan penglibatan lebih ramai umat Islam di negeri ini dalam program itu dan bersama berdoa supaya Allah SWT mengangkat pandemik COVID-19.

Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat

Katanya, tiga pemilik akaun akan diumumkan pada setiap hujung minggu selepas bacaan secara maya itu diadakan oleh Bahagian Dakwah JAIM.

“Inisiatif ini akan diumumkan setiap minggu dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini kita beri hadiah wang tunai yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing tanpa perlu menghadiri ke pejabat JAIM.

“Pelbagai usaha telah direncanakan JAIM bagi menarik penglibatan orang ramai termasuk mengadakan kuiz serta pelbagai lagi pada masa akan datang.

“Kita mahukan amalan (bacaan Yasin) ini dikongsikan kepada seluruh umat Islam yang bukan sahaja dalam negeri ini namun ia perlu diperluaskan ke setiap masyarakat dan ini pentingnya kaedah ‘share’ yang digunakan dalam platform Facebook terbabit,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

ABDUL Halim memimpin bacaan Yasin secara maya.

Terdahulu, majlis bacaan Yasin pagi tadi yang dipimpin oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil menerusi aplikasi Google Meet dan dikongsikan secara langsung di Facebook, ditonton lebih 17,000 pelayar.

Bacaan yang dimulakan tepat jam 9.10 pagi itu disiar secara langsung menerusi enam laman Facebook iaitu Melaka Hari Ini, Kerajaan Negeri Melaka, JAIM, Jabatan Mufti Melaka, Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

609
Kongsi :
Previous post Cukup sekali menjadi mangsa wabak
Next post Pelajar SPM Henry Gurney lulus 98.3 peratus
Ubah saiz-+=