Daerah Masjid Tanah bakal buka peluang pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Sept. – Kerajaan negeri akan menilai bagi menawarkan peluang pekerjaan dengan perjawatan yang akan dibuka rentetan rancangan bagi mewujudkan daerah Masjid Tanah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali berkata, perjawatan itu akan ditetapkan sejurus selesai urusan pendokumentasian bagi membina daerah baharu itu di negeri ini.

Ujarnya, pelbagai perjawatan akan disenaraikan dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) baharu dalam daerah tersebut nanti, bagaimanapun ia perlu melihat keperluan terhadap perjawatan terbabit sama ada akan dipinjamkan dari kakitangan kerajaan negeri mahupun membuka jawatan baharu.

“Beberapa perjawatan baharu akan dibuka disebabkan daerah baharu akan membuka beberapa pusat pentadbiran kerajaan termasuk yang paling utama adalah pejabat daerah dan tanah.

“Kedua, perjawatan yang akan ditawarkan melalui penubuhan majlis perbandaran, hal ini kerana sudah tentu kita perlukan majlis perbandaran baharu jadi ini akan mewujudkan pelbagai perjawatan kosong lagi.

“Apa pun kita akan membuka peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini namun kerajaan negeri perlu melihat semula pendapatan negeri disebabkan ia perlu seimbang dengan perbelanjaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Minum Petang bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, di Villa D’Acqua di sini petang tadi.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Budaya Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Dalam pada itu, menurut Sulaiman, rancangan membina daerah baharu yang telah diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu perlu diperincikan dan akan memakan sedikit masa disebabkan melibatkan pelbagai urusan pendokumentasian perlu dilaksanakan.

Jelasnya, perkara tersebut meliputi beberapa faktor termasuk melibatkan kerjasama PBT di negeri ini.

“Masih banyak lagi faktor yang perlu diambil kira termasuk menentukan persempadanan jajaran antara daerah dan perkara ini juga perlu dikaji kerana kita tidak mahu mengecilkan sempadan yang ada di daerah Alor Gajah.

“Malah, kerajaan negeri juga perlu melihat terhadap pegangan-pegangan yang dikendalikan oleh PBT lain termasuk jajaran tanah, percukaian serta pelbagai lagi yang perlu diperincikan dengan lebih mendalam,” katanya.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post Replika kereta lembu simbolik junjung warisan
Next post Gajah liar berkeliaran di R&R dihalau ke habitat asal
Ubah saiz-+=