Daging lembut & manis keunikan ‘Kacang Phool Hajijie’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BUKIT KATIL 2 Disember – Campuran kacang parang bersama daging cincang yang dimasak menggunakan rempah ratus menjadikan ‘Kacang Phool Hajijie’ lebih unik dan menarik.

Pengusahanya Khomini Terminzi Rahmat, 35, berkata sebut sahaja kacang pool sudah pasti ianya cukup sinonim sebagai makanan popular orang Johor, namun di Melaka dia mengambil pendekatan berbeza.

Bagi menghidangkan rasa dan citarasa berbeza berbanding kacang pool di Johor Khomini melakukan kajian selama tiga bulan.

“Sepanjang tempoh itu saya habiskan masa di Johor mencari kedai menghidangkan kacang pool. Saya cari perbezaan dan buat perbandingan antara hidangan yang dijamah.

“Pada awalnya saya mencampurkan kuah sudah siap dimasak bersama daging cincang. Namun tiga tahun lalu saya buat kelainan iaitu dengan menabur daging cincang ini ke atas kuah kacang .

“Idea ini adalah hasil cadangan daripada pelanggan, mereka inginkan kelainan, ramai mahu  menikmati kemanisan serta kelembutan daging,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di kedainya di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, di sini, Rabu lalu.

photo1669805455
KHOMINI Terminzi Rahmat, 35, menunjukkan hidangan Kacang Phool Hajijie di Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, Melaka. Foto: MR. AZLI

Katanya minat mendalam terhadap bidang masakan mendorongnya untuk mengusahakan kedai berkenaan sejak 2015.

Malah dia juga mengambil keputusan berhenti daripada bekerja di sebuah syarikat kerana menganggap apa yang dilakukan ketika itu tidak kena dengan minatnya.

“Selain kuah, roti yang kita hidangkan juga tebal dan berbeza dengan kacang pool yang lain. Alhamdulillah sekarang kita sudah ada produk sendiri iaitu Kacang Phool Hajijie.  Terima kasih juga kepada ibu saya kerana berkongsi resepi hidangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5009
Kongsi :
Previous post Daftar Pemilih Tambahan September dibuka untuk semakan – SPR
Next post Pegawai kanan polis disabit kesalahan pengubahan wang haram berpeluang merayu sekali lagi
Ubah saiz-+=