Pegawai kanan polis disabit kesalahan pengubahan wang haram berpeluang merayu sekali lagi

PUTRAJAYA, 2 Disember – Seorang pegawai kanan polis yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta oleh Mahkamah Rayuan bagi kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta, diberi peluang untuk merayu sekali lagi.

Ini setelah panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan semakan oleh Mohd Ismail Syed Merah, 59.

Kamaludin, yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin, kemudian menetapkan 20 Dis untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar untuk rayuan Mohd Ismail.

Pada 22 Mac lepas, panel hakim Mahkamah Rayuan berbeza, diketuai oleh Datuk Has Zanah Mehat, menolak rayuan Mohd Ismail, yang berpangkat DSP, terhadap sabitannya dan hukuman penjara.

Panel hakim itu juga meningkatkan hukuman penjara Mohd Ismail daripada empat tahun kepada 10 tahun serta memerintahkan dia membayar denda RM42 juta dan penjara 48 bulan jika gagal membayarnya selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Susulan keputusan panel Mahkamah Rayuan sebelum ini, Mohd Ismail memfailkan permohonan semakan di bawah Peraturan 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 memohon mahkamah mendengar semula rayuannya.

Terdahulu, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili pegawai polis itu berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah menggunakan imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian yang lebih rendah apabila mensabitkan Mohd Ismail atas pertuduhan tersebut.

Beliau berkata panel Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan pihak pendakwaan hanya perlu membuktikan unsur-unsur pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Mohd Ismail atas imbangan kebarangkalian dan bukannya melampaui keraguan munasabah yang merupakan beban pembuktian yang lebih tinggi yang biasanya digunakan dalam kes jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang dibantu oleh TPR Mohd Fairuz Johari, berhujah bahawa Mohd Ismail gagal memenuhi keperluan untuk semakan dan semua isu telah didedahkan oleh panel Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Mohd Ismail didakwa atas lima pertuduhan pertama menggunakan wang yang diperoleh daripada aktiviti menyalahi undang-undang, masing-masing melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000, untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takafullife dan Pelan Takafulink yang didaftarkan di bawah nama anak perempuannya, Nur Aqillah Mohd Ismail.

Dua lagi pertuduhan ialah melakukan pengubahan wang haram, membabitkan RM499,620 dan RM29,950, menggunakan akaun pihak ketiga milik seorang Tan Kim Tee.

Mohd Ismail dituduh melakukan kesalahan itu di Bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak, Johor Bahru dan di dua premis bank iaitu RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat, Johor antara 4 Sept 2014 dan 28 Dis 2015.

Mohd Ismail menghadapi lapan pertuduhan memiliki RM1.27 juta dan 8,178,000 rupiah di rumahnya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Pada 2019, Ismail dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas semua pertuduhan pengubahan wang haram. Bagaimanapun pada 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang duperintahkan berjalan serentak.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1090
Previous post Daging lembut & manis keunikan ‘Kacang Phool Hajijie’
Next post PM Anwar umum dua TPM dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan