Dakwaan PM langgar arahan KKM tidak benar – Pejabat PM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 7 Okt (Bernama) – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dipakaikan gelang pengawasan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana beliau menjalani  kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri menggunakan  ‘home assessment tool’ (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh pegawai KKM pada Isnin lalu.

“Perdana Menteri dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan kendiri di rumah setiap hari selama 14 hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu, beliau tidak dikehendaki oleh KKM untuk memakai gelang pengawasan,” demikian menurut kenyataan tersebut yang merujuk isu ketiadaan gelang pengawasan di tangan Perdana Menteri yang tular serta dipersoalkan oleh netizen.

Kenyataan itu menegaskan dakwaan bahawa Perdana Menteri melanggar arahan KKM adalah tidak benar.

Menurut kenyataan itu, keputusan ujian saringan pengesanan COVID-19 yang dilakukan pada Isnin (5 Okt) ke atas Perdana Menteri disahkan negatif semalam.

Selain itu, Muhyiddin juga telah menjalani tiga ujian pengesanan COVID-19 iaitu pada 22, 26 dan 29 Sept lepas dan kesemuanya menunjukkan keputusan negatif.

Beliau bagaimanapun dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala, semasa dalam tempoh pemantauan berkenaan.

“Setakat ini keadaan kesihatan Perdana Menteri adalah baik. Walaupun begitu, beliau akan terus melakukan kuarantin kendiri hingga selesai tempoh 14 hari yang ditetapkan oleh KKM,” menurut kenyataan itu.

Muhyiddin menjalani kuarantin kendiri berikutan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Sabtu lepas.

Zulkifli telah disahkan positif jangkitan COVID-19 pada Isnin dan menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

– BERNAMA

Views:

367
Kongsi :
Previous post PM akui kempen PRN Sabah antara punca peningkatan kes COVID-19
Next post Teksi air bakal jadi tarikan terbaharu Sungai Melaka
Ubah saiz-+=