Teksi air bakal jadi tarikan terbaharu Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 7 Okt. – Perkhidmatan teksi air (water taxi) bakal menjadi satu tarikan terbaharu di Sungai Melaka yang dijangka beroperasi tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Datuk Murad Husin berkata, ia merupakan antara pembaharuan yang bakal dilaksanakan selepas Sungai Melaka Fasa 2 berjaya direalisasikan.

Menurutnya, perkhidmatan teksi air itu bakal menjadi satu lagi alternatif yang dilakukan pihak PPSPM untuk membolehkan orang ramai menaikinya sebagai satu lagi alternatif pengangkutan awam di negeri ini.

Tambahnya lagi, perkhidmatan itu dijangka akan merangkumi perjalanan sejauh 9.6 kilometer dari Melaka Sentral hingga ke muara di Banda Hilir melibatkan beberapa hentian.

“Apa pun, kita perlu tunggu Sungai Melaka Fasa 2 siap dan harapan saya kalau boleh tahun depan kita sudah boleh mulakan perkhidmatan ini.

“Selepas ini, orang ramai boleh menaiki water taxi dari Melaka Sentral dan boleh ke muara atau mana-mana hentian yang kita sediakan seperti di Kampung Morten, Taman Rempah dan sebagainya.

“Kita bercadang untuk memulakan dengan dua buah teksi air terlebih dahulu sebelum menambahnya berdasarkan sambutan baik yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Promosi ‘Oktober 2020 Frontliners dan Keluarga Anda Dihargai’ di atas Kapal Mendam Berahi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Murad berkata pihaknya kini sedang dalam usaha menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku membabitkan projek Sungai Melaka Fasa 2.

Jelasnya, antara isu yang telah diselesaikan termasuklah membabitkan aspek kedalaman sungai dan penambahbaikan tebing.

“Projek itu kalau diikutkan sudah siap, tetapi ia di luar kawalan kita kerana tender di bawah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sebab itulah kita perlu lihat balik apa-apa isu yang perlu diselesaikan sebelum kita dapat beroperasi dan memulakan apa jua aktiviti yang sudah kita rancang,” katanya lagi.

Views:

812
Kongsi :
Previous post Dakwaan PM langgar arahan KKM tidak benar – Pejabat PM
Next post Lelaki maut motosikal bertembung van kilang
Ubah saiz-+=