DAP dakwa kedai ‘nombor ekor’ di Melaka akan tutup jika PN menang

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KESIDANG 19 Nov – Kedai agensi nombor ramalan atau nombor ekor di Melaka akan ditutup sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan raya Negeri (PRN) Melaka, esok, dakwa DAP.

Pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong mendakwa parti komponen PN, terutamanya PAS pada masa kini sedang giat memainkan sentimen agama dan kaum bagi tujuan memancing undi, termasuklah menggunakan sentimen penutupan premis nombor ekor di negeri ini.

Dakwanya lagi, tindakan itu hanya mahu memecahbelahkan masyarakat di Melaka, sedangkan kedai nombor ekor telah lama beroperasi di negara ini.

“Kalau di Melaka (mereka menang), meraka akan mempengaruhi kerajaan untuk tutup kedai agensi nombor ramalan dan (mungkin) minta orang Melaka ke Negeri Sembilan untuk beli nombor.

“Kalau satu atau dua negeri tutup, lama-lama habis semua premis agensi nombor ramalan ditutup di negara ini,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat DAP Melaka, Kampung Pandan Mawar, di sini.

Mengulas lanjut, Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, perkara itu dibangkitkan bukanlah bertujuan untuk menggalakkan perjudian di Melaka.

Sebaliknya, hak masyarakat bukan Islam sepatutnya tidak diganggu.

“Kedai ini sudah lama ada, jadi tak ada sebab untuk halang masyarakat bukan Islam membeli nombor ramalan.

“Kita setuju larangan kepada orang Islam, tapi jangan sampai hadkan (halang) masyarakat lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1441
Kongsi :
Previous post Rauf alu-alukan serangan peribadi pembangkang
Next post Polis beri jaminan hari mengundi akan berjalan lancar dan selamat
Ubah saiz-+=