Dapur daif, MyHaus hadiah terindah

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MERLIMAU 18 Disember – Impian bapa empat anak yang juga asnaf untuk menghadiahkan ruangan dapur yang selesa buat keluarganya tercapai apabila terpilih sebagai penerima bantuan Program MyHaus 2021.

Menurut Mohd Fady Taufek, 48, sudah sekian lama dia berhasrat untuk membaiki ruangan dapur rumahnya yang uzur dan daif namun disebabkan kesempitan wang, hasrat itu terpaksa dilupakan ditambah pula pada 2020 dia terbabit kemalangan.

“Namun siapa sangka, susulan dari kemalangan yang menimpa ada berita gembira buat kami sekeluarga apabila menerima bantuan membaiki dapur.

“Ianya bermula selepas kedatangan Datuk Rawi (Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud) ke rumah melawat saya. Melihat keadaan dapur dia menyuarakan permohonan bantuan baik pulih.

“Ketika itu keadaan dapur saya amat daif dengan lantai tidak serupa lantai ditambah pula dengan bumbung yang bocor,” katanya.

275A9EE8-C38B-4C1A-A0E2-5D13021D8B3AMohd Fady berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Program MyHaus 2021 yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, di Kampung Batu Gajah, Merlimau, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo; Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud dan Setiausaha MAIM Muhammad Ikram Ibrahim.

Menurutnya yang kini bekerja sebagai pekerja pembersihan di Masjid Kampung Batu Gajah, sebagai seorang bapa semestinya dia amat terharu dengan bantuan diterima kerana isteri dan anak-anak lebih selesa.

“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan ketika itu, amat selesa malah seakan tidak percaya dapat dapur sebegini cantik.

“Malah isteri dan anak-anak juga tidak henti menyuarakan kegembiraan mereka. Apa yang saya cakapkan kepada mereka ini rezeki kita dan perlu bersyukur kepada Allah S.W.T,” katanya.

Ujarnya, sebagai asnaf dia amat menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan dan MAIM yang banyak membantu menyalurkan bantuan demi memastikan mereka sekeluarga mendapat kehidupan yang selesa dan lebih baik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1830
Kongsi :
Previous post Banjir kilat di LPT2 akibat limpahan air cerun
Next post Sukan Triathlon ATM dianjur dwitahunan
Ubah saiz-+=