Sukan Triathlon ATM dianjur dwitahunan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 18 Disember – Kejohanan sukan Triathlon Tanjung Bidara Challenge akan dianjurkan secara dwitahunan bermula tahun hadapan dan tidak lagi dijadikan acara tahunan sebagaimana tahun terdahulu.

Asisten Ketua Staf Operasi & Latihan (OPLAT) Tentera Darat, Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Lasak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak tahun 2016 itu sebelum ini dianjurkan setiap tahun.

Bagaimanapun katanya, aktiviti tahunan dalam Majlis Sukan ATM (MSAT) itu terpaksa ditangguhkan pada tahun 2019 berikutan penularan COVID-19.

“Bermula tahun hadapan, kejohanan Triathlon akan dianjurkan secara dwitahunan, yang mana kejohanan itu tidak akan dianjurkan pada tahun 2023 dan digantikan dengan pertandingan Orienteering di peringkat ATM yang dijadualkan pada pertengahan Mei 2023.

“Penganjuran triathlon dianjurkan semula pada tahun 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Triathlon Tanjung Bidara Challenge 2022 di sini, hari ini.

7FE16917-A74A-4EA2-9AC4-B017AA96D2ED
Mejar Jeneral Malek Razak Sulaiman (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang formasi kejohanan Triathlon Tanjung Bidara Challenge 2022 di sini.

Terdahulu, program pelepasan semua peserta kejohanan itu disempurnakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.

Hadir sama, Panglima 21 Grup Geram Khas (GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim.

Dalam pada itu, Pengerusi Sukan Lasak ATM, Kolonel Fazdil Husin berkata, Pertandingan Orienteering yang menggantikan kejohanan sukan tahunan Triathlon itu tidak akan dibuka kepada orang awam.

Katanya, ia berikutan Pertandingan Orienterring memerlukan penggunaan alat yang terhad seperti ‘dibber’ dan format pertandingan lebih melibatkan dalam kalangan formasi dan perkhidmatan ATM.

“Kita tidak boleh buka pertandingan (orienteering) kepada umum kerana ia melibatkan peralatan terhad, perlu ada ‘dibber’ untuk sampai dari satu ‘point’ ke satu ‘point’ yang lain dan kosnya mahal.

“Selain itu, penyertaan juga tidak boleh ramai, melibatkan bawah 100 orang berbanding ‘triathlon’melibatkan kira-kira 500 orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2347
Kongsi :
Previous post Dapur daif, MyHaus hadiah terindah
Next post Melaka jadi lokasi pembangunan Bandar Pendidikan D8
Ubah saiz-+=