Melaka jadi lokasi pembangunan Bandar Pendidikan D8

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

TABOH NANING 18 Disember – Melaka bakal menjadi lokasi pembangunan Bandar Pendidikan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8) dengan nilai pelaburan lebih RM2 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, projek itu akan dibangunkan di tanah berkeluasan kira-kira 149.73 hektar yang terletak di Bandar Vendor Mukim Taboh Naning yang mana ia akan dilaksanakan melalui tiga fasa dan dijangka siap 15 tahun lagi.

Menurutnya, pembangunan bandar pendidikan itu bakal memacu Melaka menjadi sebuah hub pendidikan bertaraf global yang berteraskan Islamik pada masa akan datang.

“Ini merupakan salah satu usaha dalam membangunkan Negeri Melaka sebagai hab pendidikan yang mana asasnya ialah pendidikan Islamik.

“Jadi, negara-negara luar termasuk lapan negara D8 iaitu Bangladesh, Indonesia, Iran, Malaysia, Pakistan, Turki, Mesir dan Nigeria boleh menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat sehenti untuk bidang pendidikan berteraskan teknikal dan sebagainya.

“Mengapa kita pilih di sini adalah disebabkan di kawasan ini kita ada beberapa institusi pengajian seperti ADTEC dan UniKL MICET yang mana ia sekali gus membantu pembangunan modal insan dan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang berteraskan Islamik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Perasmian Tapak Cadangan D8 Education City di Bandar Vendor Mukim Taboh Naning, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, menerusi pelaksanaan D8 Education City itu, peruntukan akan dibuat bagi universiti-universiti di dalam negara-negara D8 untuk menempatkan cawangan-cawangan ataupun universiti yang ingin mengembangkan operasi mereka di Malaysia khususnya di Melaka.

“Justeru, satu pusat pengurusan antarabangsa D8 akan ditempatkan untuk mengurus tadbir rancangan dalam pembangunan D8 Education City yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan guna sama seperti perpustakaan, dewan-dewan syarahan, kompleks sukan dan lain-lain akan dibina
kemudian.

“Untuk membantu Education City ini, satu pusat perdagangan akan dibina untuk memberi kemudahan perdagangan asrama-asrama dalam kalangan pelajar-pelajar bujang dan yang telah berkahwin. Oleh itu, rancangan untuk menubuhkan pusat antarabangsa bagi penyelidikan dan pembangunan yang memberi fokus kepada kemajuan teknologi terkini akan diwujudkan.

“Saya yakin, Yayasan D8 Malaysia ini juga akan menjadi sebuah pusat perhubungan syarikat-syarikat dan industri-industri di negara-negara D8 yang berminat untuk menempatkan kemudahan dan kilang-kilang mereka sejajar dengan usaha Kerajaan Malaysia dan Melaka khususnya untuk menggalakkan pelaburan asing ke negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menggalakkan inisiatif-inisiatif swasta untuk turut sama membantu membawa kemajuan dan pelaburan asing ke negeri ini secara mampan demi kesejahteraan dan kemakmuran Melaka pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2109
Kongsi :
Previous post Sukan Triathlon ATM dianjur dwitahunan
Next post RM93 juta diagihkan MAIM kepada asnaf
Ubah saiz-+=