
DARI GIATMARA SUNGAI RAMBAI KE QATAR AIRWAYS
AYER KEROH 23 Jun – Bermula dengan belajar mengimpal kepingan logam, Ibrahim Zolkepli, 41, sekarang diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai mekanik struktur badan kapal terbang (Aircraft Sheet Metal Mechanic) syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways di Doha, Qatar.
Anak jati Merlimau ini berkata, kepercayaan terhadap dirinya bukan dicagarkan kepada ijazah sebaliknya kemahiran hasil pendedahan menerusi laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ini berkata, perjalanan TVET bagi dirinya bermula selepas dia mengikuti kursus dalam bidang kimpalan dan fabrikasi logam di GiatMARA Sungai Rambai pada Julai 2002.
“Tanpa terlalu memikirkan perjalanan karier masa hadapan, saya menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Fabrikasi Kepingan Logam (TFKL) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuala Lumpur selepas tamat kursus di GiatMARA Sungai Rambai.
“Pada awalnya bidang ini bukanlah pilihan utama saya, namun setelah mencuba dan memahami cabarannya, saya mula jatuh cinta dan mendalaminya dengan penuh minat. Selain itu bagi saya tidak rugi jika tambah ilmu baharu dan kembangkan lagi kemahiran,” katanya katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sepanjang pengajian di IKM, Ibrahim mengakui ilmu dan pendedahan yang dipelajari sangat relevan, khususnya dalam aspek kepakaran membaca lukisan teknikal dan juga kemahiran rekaan.
“Selepas tamat pengajian, saya menjalani latihan industri di Unit Kargo MASkargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menyertai Malaysia Airlines System (MAS) sebagai pelatih mekanik pesawat.
“Setelah hampir sedekad menimba pengalaman di MAS, saya akhirnya menerima tawaran bekerja di Qatar Airways melalui sesi temuduga terbuka yang hanya ditawarkan kepada mereka yang memiliki pengalaman industri sekurang-kurangnya lima tahun.
“Kini saya bertugas membaiki dan menyelenggara struktur badan pesawat termasuk kerja-kerja modifikasi. Gaji sekitar RM17,000 hingga RM20,000 sebulan, tetapi ia datang dengan nilai yang tinggi iaitu pengorbanan berjauhan dari keluarga,” katanya.
Bagi Ibrahim, nilai gaji itu bukanlah ukuran mutlak kepada kejayaan, tetapi lebih kepada cerminan kesungguhan dan pengorbanan yang perlu dilalui oleh mereka berkecimpung dalam bidang itu.
“Saya percaya ramai anak muda kita memiliki potensi besar. Cuma mereka perlu diberikan galakan untuk sertai bidang TVET. Latihan industri disediakan, banyak syarikat kini mencari pekerja yang ada kemahiran praktikal.
“Kalau diberi peluang, saya mahu kembali menyumbang kepakaran di Malaysia. MARA banyak membentuk saya, bukan hanya daripada segi kemahiran, tapi disiplin dan nilai kerja berpasukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.