DEA bantu asnaf bergelar usahawan berjaya

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Mei – Sejumlah RM500,000 diperuntukkan Maybank Islamik Berhad bagi menjayakan Projek ‘Digital Entrepreneurship Asnaf’  (DEA) dalam membantu usahawan asnaf membangunkan lagi perniagaan diceburi mereka.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, menerusi program ini usahawan asnaf diberi pendedahan untuk mengenal pasti strategi dan program pembangunan ekonomi  yang disediakan.

Katanya, dana diberikan itu dikelolakan secara bersama oleh beberapa pihak antaranya Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Menerusi tajaan yang disumbangkan oleh Maybank Islamik Berhad ini kita akan membantu untuk membangunkan asnaf dan kira-kira 150 asnaf terpilih yang mana kita akan latih mereka.

“Hasrat kita adalah untuk melahirkan asnaf-asnaf yang siap sedia untuk terjun ke dalam pasaran apabila memberi pededahan tentang teknik perniagaan antaranya membabitkan pengurusan stok serta premis.

“Penganjuran program ini adalah suatu kolaborasi yang amat baik apabila membabitkan sektor swasta, unviersiti dan agensi agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran DEA diiringi Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamik Datuk Muzaffar Hisham, di UTeM, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Dr. Ruslan Said; Naib Canselor UTeM, Professor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin; Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad dan Pengurus Baitulmal MAIM, Muhammad Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Zulkifli, selepas Melaka program ini dirancang akan diperluas ke negeri lain dan menarik lebih ramai penaja dari sektor korporat selain daripada rakan strategik sedia ada.

“Insya-Allah kita juga akan terus meneroka potensi yang lain dan selain itu kita akan ada juga penambahan peserta namun begitu sebagai permulaan untuk siri pertama ini ia hanya melibatkan seramai 150 peserta terpilih.

“Ini juga dengan kerjasama juga MAIM dan ia merupakan satu kolaborasi yang baik bagi memastikan usaha ini adalah bersepadu selain memaksimakan bahawa usahawan ini akan berjaya.

“Peserta yang terpilih ini akan dipantau dari semasa ke semasa bagi tempoh sembilan bulan ia bagi memastikan program ini bukan bersifat ‘one-off’.

“Malah Projek DEA ini membabitkan empat fasa iaitu pendedahan, pendidikan, pemasaran dan terkahir pemantauan. Pemantauan akan dilakukan oleh mereka yang pakar dengan membabitkan beberapa aspek bagi memastikan mereka bersemangat sekaligus dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dalam kalangan asnaf,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

307
Kongsi :
Previous post Pusat Keluarga LPPKN Melaka sasar 40,000 wanita terima pelbagai manfaat
Next post ‘Kalau bukan sebab Ketua Menteri, saya hanya penjual sate di Klebang’
Ubah saiz-+=