Deepavali lambang perpaduan masyarakat majmuk – KM

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BANDA HILIR 1 November – Amalan bersama-sama meraikan dan berkongsi kemeriahan sambutan perayaan kaum lain dianggap sebagai satu keistimewaan yang perlu terus dijaga, diharmonikan serta dipelihara oleh semua rakyat Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, nikmat atau keistimewaan itu tidak dapat dilihat dan dirasai negara lain di dunia melainkan di Malaysia.

Bangga dengan kepelbagaian kaum di negara ini, Ab Rauf berkata semua keistimewaan itu adalah hasil semangat kebersamaan dan kesepaduan rakyat yang sentiasa menjaga nilai muhibbah, toleransi serta harmoni meskipun berbeza agama.

Katanya, sempena meraikan penganut agama Hindu yang akan menyambut perayaan Deepavali 12 November ini, rakyat diminta bersama-sama terus menyemai semangat perpaduan, budaya kerjasama selain menjaga amalan hormat-menghormati antara kaum di Melaka khususnya dan Malaysia amnya.

Menurut beliau, seperti perayaan-perayaan lain di Malaysia, Deepavali juga adalah bukti kukuh sebagai lambang keutuhan kasih sayang dan perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Semangat ‘unity in diversity’ seperti ini yang menjadi teras kekuatan kita selama ini, mampu menjadikan negara dan negeri kita terus cemerlang serta berjaya pada masa akan datang.

“Seterusnya kekuatan dan kejayaan ini dapat diwariskan pula kepada generasi muda yang bakal memimpin negara ini pada masa hadapan.

“Pada hemat saya, majlis seumpama ini seharusnya kekal diadakan pada setiap tahun agar kita semua dapat berinteraksi dan menjalinkan hubungan yang erat demi perpaduan serta kesejateraan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Pesta Deepavali 2023 Peringkat Negeri Melaka di Padang Nyiru, Little India, Jalan Bendahara, di sini, malam tadi.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim; Barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan negeri.

Terdahulu, Ketua Menteri tiba di tapak sambutan pesta itu pada jam 8.30 malam, beliau kemudian menyantuni pengunjung dan peniaga Bazar Deepavali yang menjual pelbagai keperluan bagi menyambut perayaan itu antaranya pakaian dan makanan tradisional masyarakat India.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan gimik perasmian di pentas utama terletak di Padang Nyiru diikuti dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat India serta majlis jamuan makan malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3169
Kongsi :
Previous post Cari formula kurangkan kemalangan libatkan pelajar
Next post Hanya bersolidariti dalam isu Palestin
Ubah saiz-+=