Hanya bersolidariti dalam isu Palestin

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 1 November – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) menggesa solidariti ditunjukkan ahlinya berhubung isu Palestin tidak dikecam atau dipolitikkan.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, tiada sebarang sekatan ke atas penjawat awam termasuk institusi pendidikan dalam menunjukkan sokongan terhadap tragedi kemanusiaan yang sedang menimpa rakyat Palestin.

“Sebenarnya kami mengikuti kecaman-kecaman berkenaan dan tidak mahu ahli-ahli menjadi mangsa.

“Ini kerana garis panduan bagi menjalankan aktiviti ini sudah dimaklumkan oleh pihak kementerian lebih awal dan dibenarkan. Jadi tidak ada isu melanggari atau membuat sesuatu diluar kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Jualan Agro Madani @Cuepacs yang turut dihadiri Pengarah Kanan Pemasaran Segar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Shahrizan Sudiman, di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, semalam.

Menurut beliau, Cuepacs sentiasa menyokong akan usaha serta dasar kerajaan termasuk mengambil bahagian dalam Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan.

“Jadi janganlah lihat cara pakaian, persembahan, perarakan atau laungan sebagai satu ancaman kepada negara, sebaliknya ini adalah tanda bagaimana rakyat di negara ini bersolidariti dengan rakyat Palestin ketika mereka diancam kepupusan oleh rejim Israel pada ketika ini.

“Jadi bagi kami ini bukan isu besar sebaliknya isu untuk kita mengingatkan seluruh dunia tentang adanya peta negara Palestin yang perlu didaulatkan, malah kita dari jauh ini bukan sahaja mampu beri sumbangan tetapi menunjukkan rasa simpati serta mengadakan Minggu Solidariti Palestin ini sebagai tanda sokongan supaya mereka terus berjuang,” katanya.

Terdahulu, bermula 29 Oktober hingga 3 November depan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.

Bagaimanapun beberapa wakil rakyat menyuarakan bantahan terhadap penganjuran minggu kesedaran berkenaan dengan menyuarakan beberapa alasan antaranya sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post Deepavali lambang perpaduan masyarakat majmuk – KM
Next post Ribut tidak jejas operasi Klinik Kesihatan Masjid Tanah
Ubah saiz-+=