
DELEGASI ‘INFLUENCERS JDT FC’ RASAI KEUNIKAN MELAKA RIVER CRUISE
BANDARAYA MELAKA 3 September – Delegasi Johor Darul Takzim (JDT) Football Club Influencers World Cup 2025 memeriahkan suasana malam di Sungai Melaka apabila mereka berpeluang menikmati keindahan panorama menerusi sesi lawatan santai menaiki Melaka River Cruise kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata lawatan itu menjadi sebahagian daripada itinerari rombongan ketika mereka berada di negeri ini.
Katanya, kesemua ahli rombongan turut dibawa melawat beberapa lokasi pelancongan utama sekitar Bandaraya Melaka.
“Sepanjang perjalanan kira-kira 45 minit menyusuri Sungai Melaka, kesemua peserta rombongan dapat melihat sendiri keunikan seni bina bangunan warisan, mural jalanan serta pencahayaan indah yang menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kunjungan itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi peluang mempromosikan produk pelancongan negeri, malah memperkukuh hubungan mesra bersama penggiat sukan dan media sosial dari dalam serta luar negara.
“Terima kasih kerana memilih Melaka River Cruise dalam jadual lawatan anda. Kami berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap dapat menyambut kedatangan anda lagi pada masa akan datang,”katanya kepada Melaka Hari Ini.
Delegasi JDT FC Influencers World Cup 2025 itu terdiri daripada personaliti media sosial dan pencipta kandungan yang dibawa khas sempena penganjuran kejohanan berprestij berkenaan.

Kehadiran mereka di Melaka dilihat mampu memperluas promosi negeri ini kepada jutaan pengikut di platform digital.
Selain menaiki Melaka River Cruise, delegasi terbabit turut melawat beberapa mercu tanda lain di termasuk kawasan bersejarah di Banda Hilir serta menikmati sajian makanan tradisi masyarakat tempatan.
Langkah itu sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri memperhebatkan promosi Tahun Melawat Melaka (TMM) dengan menjadikan sektor pelancongan sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.