Demi maruah isteri dan anak-anak, pemandu lori dipenjara enam tahun
AYER KEROH 25 Mac – Seorang pemandu lori dipenjara enam tahun selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian tanpa niat demi mempertahankan maruah isteri dan anak-anaknya tiga tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Maidzurah Mohamed terhadap tertuduh, S Saravanan,44 selepas mengambil kira pengakuan tertuduh serta bukti pergaduhan dimulakan oleh mangsa.
Maidzurah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman daripada tarikh ditangkap iaitu 18 Ogos 2019 dan memerintahkan semua eksibit dilupuskan.
Saravanan sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun diturunkan kepada Seksyen 304(b) kanun sama bagi pertuduhan pilihan.
Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati menyebabkan kematian PS Satiseelan, 41, dengan mengetahui perbuatannya mungkin menyebabkan kematian mangsa.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada jam 10.30 pagi di Tasek Taman Murai Jaya, Durian Tunggal pada 6 Ogos 2019.
Terdahulu Maidzura dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan berjaya membuktikan pergaduhan tercetus bukan dimulakan oleh tertuduh sebaliknya mangsa.
Menurutnya, malah hubungan persahabatan antara tertuduh dan mangsa sudah terjalin sejak 10 tahun.
Dalam penghakimannya beliau juga memberitahu, ketika kejadian tertuduh dan mangsa berada dalam keadaan mabuk.
Jelasnya insiden pergaduhan itu tercetus selepas mangsa dikatakan cuba mengeluarkan kenyataan menyentuh maruah isteri dan anak-anak tertuduh.
“Tertuduh dikatakan memukul mangsa menggunakan topi keledar dan bukan senjata tajam.
“Pihak pembelaan juga membuktikan tertuduh bukanlah penjenayah memandangkan laporan polis dilakukannya sendiri selepas kejadian malah tertuduh juga berada di sisi mangsa ketika dibawa ke Hospital Melaka (HM),” katanya.
Mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri dari hospital namun tertuduh membawa mangsa mendapatkan rawatan di klinik serta membawa makanan untuknya.
Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman kerana kecederaan dialami akibat pergaduhan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamd Rasad, manakala tertuduh diwakili peguam S Paul Krishnaraja.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.