Skim insurans Keluarga Malaysia bakal manfaatkan 268,000 keluarga miskin – PM
KANGAR, 25 Mac – Kerajaan bersetuju untuk menyediakan Skim Insurans Keluarga Malaysia bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar yang melibatkan 268,000 keluarga.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah skim ini Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih diberi perlindungan insurans dengan premium sebanyak RM50 setahun dan melibatkan kos sebanyak RM13.4 juta.
“Sekiranya KIR meninggal dunia disebabkan kematian biasa, keluarga akan mendapat manfaat RM10,000, keilatan kekal RM10,000 sementara yang meninggal dunia akibat kemalangan RM20,000.
“Pada masa yang sama, Pru-Takaful BSN menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu sejak 2018 memberi perlindungan insurans RM30,000 secara percuma bagi KIR yang berdaftar menerusi eKasih,” katanya semasa berucap merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perlis 2022 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata kerajaan komited dalam memperkasakan pendapatan kumpulan sasar melalui Program Meningkatkan Taraf Hidup Golongan B40 dalam kalangan Masyarakat Pertanian Agromakanan.
Beliau berkata menerusi program tersebut pelbagai jenis bantuan telah diagihkan kepada 39,171 orang penerima dengan peruntukan RM109.7 juta.
Katanya seramai 1,300 pesawah pula telah mendapat manfaat menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi tujuan meningkatkan produktiviti penanaman padi.
“Kerajaan juga sentiasa mendengar keluhan dan permintaan Keluarga Malaysia dan keputusan terkini yang dilaksanakan atas kehendak ramai ialah pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.