Akaun pendeposit TH culas bayar nafkah dicadang dibekukan
PUTRAJAYA, 25 Mac – Akaun pendeposit Tabung Haji (TH) yang culas membayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak dicadang dibekukan.
Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata langkah itu bertujuan memastikan setiap pendeposit yang merupakan bakal jemaah haji bebas daripada sebarang hutang terutama hutang tuntutan nafkah.
Beliau berkata Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Tabung Haji minggu depan bagi membincangkan keperluan membekukan akaun pendeposit yang culas membayar tuntutan nafkah itu.
“Mereka ini (pendeposit) perlu lunaskan hutang nafkah sebelum menunaikan rukun Islam kelima. Cara ini dapat bantu bekas suami yang zalim (tidak bayar nafkah) agar bebas hutang, lagi-lagi melibatkan hutang dengan orang terdekat (bekas isteri dan anak-anak).
“Kita ingin pastikan mereka tunai ibadah haji sebagai seorang hamba Allah yang bebas hutang,” katanya pada sidang media berhubung isu hiwalah (pemindahan hutang) dan perintah nafkah bersama pembubaran perkahwinan di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata cadangan itu merupakan tindakan susulan daripada pengumuman kerajaan berhubung pembekuan akaun bank melibatkan kes culas membayar tuntutan nafkah.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pembekuan ke atas akaun bank bekas suami yang ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri sebagai menghargai dan menjaga kepentingan wanita, khususnya yang diceraikan suami.
Mohd Na’im berkata JKSM juga dalam perancangan untuk bertemu dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi mengusulkan perkara sama.
“Lepas jumpa TH, akan berjumpa dengan PNB untuk cadang bekukan pegangan saham mana-mana pemegang saham yang culas bayar tuntutan nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.