Derita dua beradik dirogol bapa tiri durjana

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 10 Januari – Perbuatan terkutuk seorang pengawal keselamatan dipercayai merogol dua anak tirinya berusia belasan tahun terbongkar selepas dia dicekup polis, jam 11 malam semalam.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah pos pengawal keselamatan tempatnya bertugas selepas pihak polis menerima laporan daripada ibu kedua-dua mangsa.

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Md Nazri Nawawi berkata, perbuatan itu terbongkar selepas kedua-dua mangsa berusia 13 dan 15 tahun mengadu kepada ibu mereka.

Md Nazri berkata, susulan itu ibu remaja terbabit yang berusia 39 tahun membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga pada hari sama.

“Pada awalnya dua beradik ini merahsiakan kejadian kerana khuatir ibu mereka tidak akan percaya dakwaan suspek melakukan perbuatan itu.  Namun perkara itu diceritakan kepada nenek mereka.

“Mereka membuka mulut selepas warga emas itu bertanyakan mengenai hubungan mereka dengan suspek, kemudian barulah perkara itu diceritakan pula kepada ibu mereka,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut dijalankan mangsa dipercayai dirogol suspek antara jam 5.30 petang hingga 10.30 malam ketika ibu mereka keluar menjual burger.

“Mangsa berusia 15 tahun mendakwa dirogol sebanyak empat kali, sementara itu adiknya mendakwa dirogol dalam kejadian jam 11 malam 2 Januari lalu. Kedua-dua mangsa juga mendakwa kerap diraba suspek sejak dari sekolah rendah lagi,” katanya.

Jelas Md Nazri, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 16 Januari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

10155
Kongsi :
Previous post Dua remaja lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan di Tanjung Sedili
Next post MPJ galak urusniaga tanpa tunai
Ubah saiz-+=