Didenda RM1,700 buat laporan polis palsu

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 12 Jun – “Lain kali fikir panjang, polis banyak lagi kerja lain mahu siasat kes jenayah, bunuh. Mengaku sahaja duit itu kamu guna.

Demikian kata Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh ketika menjatuhkan hukuman denda RM1,700 kepada Mohd Fuad Md Ali, 28, di Mahkamah Majistret di sini semalam selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan membuat laporan polis palsu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi laporan palsu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, kira-kira jam 2.30 petang, pada 12 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dikatakan membuat laporan polis kononnya dia diragut menyebabkan beg mengandungi duit syarikat berjumlah RM420 dilarikan individu tidak dikenali yang menaiki motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Hasil siasatan lanjut pihak polis kemudian mendapati, tertuduh telah menggunakan wang terbabit untuk kegunaan judi dalam talian.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman mencadangkan hukuman berat dikenakan kepada tertuduh kerana tindakan itu menyebabkan polis terpaksa melakukan siasatan dan membuang masa banyak pihak.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah denda dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan anak serta tidak bekerja.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,700 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post Lima pengusaha gunting rambut terima notis KPDNHEP Melaka
Next post PKPP: Tempahan hotel di Melaka meningkat
Ubah saiz-+=