Lima pengusaha gunting rambut terima notis KPDNHEP Melaka

0
191
GAMBAR hiasan

MELAKA 12 Jun — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan notis kepada lima pengusaha perkhidmatan menggunting dan mendandan rambut di negeri itu bagi memastikan harga yang ditawarkan adalah munasabah, khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar berkata notis itu bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai caj perkhidmatan selepas pemeriksaan dilakukan selain terdapat aduan berhubung kenaikan harga antara RM5 hingga RM10 atas alasan kos tambahan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“KPDNHEP ingin mengingatkan bahawa kadar baharu harga pemotongan dan dandanan rambut mestilah sejajar dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung pengusaha.

“Sekiranya proses menggunting rambut hanya melibatkan penggunaan pelitup muka, apron pakai buang, sarung tangan serta pensanitasi tangan maka hanya kos barangan itu sahaja yang boleh dicaj kepada pelanggan selain kos asal upah gunting,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata lima pengusaha itu diberi tempoh tiga hari bekerja untuk memberi maklum balas terhadap notis yang diterima dan sekiranya gagal, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan anti Pencatutan (AKHAP) 2011 serta Notis Bertulis mengikut Seksyen 21 AKHAP 2011.

Norena mengingatkan semua premis perkhidmatan itu agar mempamerkan senarai harga bagi setiap barangan tambahan serta caj servis bagi membolehkan pelanggan menyemak harga lebih awal dan mengelak kekeliruan.

“Jika ada premis mengenakan caj tidak munasabah, orang ramai diminta menyalurkan aduan di https://eaduan.kpdnhepp.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar eZ Aduan KPDNHEP, talian 03- 88826088/6245, WhatsApp 019-2794317 atau membuat aduan di Bilik Gerakan KPDNHEP negeri,” katanya.

— BERNAMA