Didik rakyat Melaka asing sisa pepejal dari rumah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

MERLIMAU 28 Oktober – Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan sedang dalam usaha ke arah mendidik rakyat Melaka melakukan pengasingan sisa pepejal dari rumah.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu penting dalam memastikan alam sekitar di negeri ini terus terpelihara.

Menurut beliau, tugas menjaga alam sekitar kini bukan hanya terletak di bahu agensi atau jabatan kerajaan sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama.

“Oleh sebab itu, saya minta agensi dan jabatan kerajaan terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar, Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan rakyat tahu melakukan pengasingan sisa dari rumah.

“Ini penting supaya semua tahu tanggungjawab menjaga alam sekitar terletak di bahu kita semua,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 Peringkat Negeri Melaka di Politeknik Merlimau Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Melaka Rosli Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) Ismail Hasim dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Khairuladha Ab Mutalib.

Rais bagaimanapun berkata, Kerajaan Negeri belum bercadang menguatkuasakan arahan pengasingan tersebut, sebaliknya menggunakan pendekatan lebih mesra dengan mendidik masyarakat terlebih dahulu.

“Saya percaya pendekatan lebih harmoni seperti ini lebih berkesan dalam memberi kesedaran, seterusnya berupaya mempromosikan inisiatif mesra alam ini kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Polis tahan dua lelaki bantu siasatan kes ugut PM, Timbalan KPN di media sosial
Next post Sukan Melaka 2024 lebih besar, meriah
Ubah saiz-+=